Vaksin: 10,000 gagal hadir janji temu

KOTA BHARU 24 Mei – Setakat semalam, seramai 10,000 individu yang mendaftar bagi fasa kedua Program Imunisasi Covid-19 Kebangsaan peringkat Kelantan tidak menghadiri janji temu yang ditetapkan untuk menerima suntikan vaksin.

Pengerusi Jawatankuasa Kerajaan Tempatan, Perumahan dan Kesihatan negeri Dr Izani Husin berkata perkara ini amat mendukacitakan pelbagai pihak yang juga turut mengakibatkan berlakunya pembaziran dos vaksin.

“Pelbagai alasan yang mereka berikan seperti nak tukar tarikh, demam, nak bernikahlah, akhirnya jabatan kesihatan yang susah sebab dah atur elok tetapi sampai masanya, mereka (pendaftar) tidak hadir,” katanya di Kompleks Kota Darulnaim, di sini hari ini.

Dr Izani menyeru mereka yang sudah mendaftar untuk memberikan kerjasama dengan menepati janji temu suntikan vaksin dan yang belum mendaftar diminta berbuat demikian melalui saluran sedia ada termasuk menerusi MySejahtera.

Katanya, Kelantan akan menerima bekalan vaksin Sinovac dalam kuantiti yang banyak pada Jun ini.

“Maka, saya berharap, orang ramai akan ‘berebut’ dan bukannya menolak kerana suntikan vaksin insya-Allah dapat mengelakkan kita daripada dijangkiti,” katanya sambil menegaskan pihak tidak bertanggungjawab juga perlu berhenti menyebarkan berita palsu berkaitan vaksin Covid-19.

Mengenai pematuhan prosedur operasi standard (SOP) Perintah Kawalan Pergerakan (PKP) penduduk Kelantan, Dr Izani menyifatkan ia masih berada pada tahap rendah sehingga berlakunya trend peningkatan kes harian Covid-19 dengan mencecah tiga angka sejak kebelakangan ini.

“Kita semua gagal (patuh) SOP (bermula) daripada rakyat, peniaga, di masjid dan semua golongan. Itulah jadinya apabila kita semua tidak mendengar nasihat para ulama, mufti dan pakar perubatan dalam hal ini,” katanya.

Related posts

Leave a Comment