Kes di wilayah selatan Thai juga tinggi

BANGKOK 4 Okt. – Kes jangkitan Covid-19 di Thailand hari ini turun di bawah 10,000 kes apabila merekodkan 9,930 kes baharu dengan angka kematian 97,  kurang daripada 100 .

Menurut Kementerian Kesihatan Awam, sebanyak 9,568 kes adalah dalam kalangan orang awam termasuk tujuh kes import manakala 362 melibatkan banduan penjara.

Ini menjadikan jumlah keseluruhan kes meningkat kepada 1,647,362 kes dan 17,111 kematian.

Semalam, Ahad, sebanyak 12,336 pesakit Covid-19 dibenarkan keluar hospital selepas didapati sembuh daripada koronavirus menjadikan jumlah keseluruhan kes pulih meningkat kepada 1,520,503.

Sementara itu, Pusat Pentadbiran Situasi Covid-19 (CCSA), menjelaskan walaupun kes jangkitan di bawah 10,000 dan Bangkok masih mendahului tetapi terdapat kes yang tinggi di wilayah Selatan.

Yala merekodkan 764 kes, Songkhla 484, Pattani 406, Narathiwat 314 dan Nakhon Si Thammarat 313.

Wilayah Selatan juga merekodkan 27 kematiann.

Setakat ini, hanya 33 peratus penduduk Narathiwat menerima dos pertama berbanding 35 peratus di Pattani, 46 peratus di Yala dan 42 peratus di Songkhla.

Sementara itu, kes import pula melibatkan ketibaan lima dari Kemboja, seorang Albania dan seorang lagi dari Malaysia.

Setakat semalam, sebanyak 109,748 orang menerima rawatan di hospital termasuk 3,071 pesakit yang teruk dan 719 bergantung kepada bantuan pernafasan.

Related posts

Leave a Comment