Loke minta anggota DAP ‘jaga mulut’

KUALA LUMPUR 24 Jun –   Semua pemimpin dan anggota DAP diingatkan supaya sentiasa menjaga keharmonian dalam hubungan antara parti dan gabungan dalam Kerajaan Perpaduan demi kestabilan politik.

Setiausaha Agung DAP, Anthony Loke berkata, keharmonian hubungan itu amat diperlukan pada ketika negara menghadapi pelbagai cabaran luaran.

“Sesiapa dalam DAP yang tidak boleh menjaga mulut mereka dalam perkara ini adalah tidak dialu-alukan sama sekali untuk berucap dalam pentas DAP,” katanya dalam kenyataan di Facebook beliau.

Beliau merujuk kenyataan bekas Setiausaha Publisiti DAP, Tony Pua yang menggelar Barisan Nasional (BN) yang kini bersama Pakatan Harapan (PH) dalam Kerajaan Perpaduan sebagai ‘corrupt coalition’ atau pakatan ‘korup’.

Beliau dilaporkan berkata demikian sewaktu berucap pada Majlis Makan Malam Mengumpul Dana DAP di pekarangan Dewan Bandaraya Petaling Jaya (MBPJ) malam semalam.

Loke berkata, Pua tidak seharusnya mengeluarkan kenyataan berunsur serangan terhadap mana-mana rakan gabungan utama dalam Kerajaan Perpaduan.

Katanya, sebarang kenyataan provokatif terhadap rakan gabungan dalam Kerajaan Perpaduan adalah tidak selari dengan pendirian dan hala tuju parti itu pada masa kini.

Beliau berkata, Pua tidak lagi memegang apa-apa jawatan dalam DAP ketika ini dan kenyataan dikeluarkan itu adalah atas kapasiti individu dan tidak sama sekali mewakili kepimpinan parti.

“Kepimpinan tertinggi DAP sudah membuat keputusan dasar untuk bekerjasama dengan gabungan politik lain demi mencapai kestabilan politik,” katanya.

Pua dalam ucapan sama turut menyuarakan harapan supaya PH selepas ini dapat membentuk kerajaan sendiri dalam kalangan komponen gabungan itu, tanpa membabitkan UMNO dan BN sekiranya gabungan itu menang dalam Pilihan Raya Umum (PRU) akan datang.

Justeru , katanya, Pengerusi PH, Anwar Ibrahim yang dilantik sebagai Perdana Menteri perlu membuktikan sesuatu kepada rakyat berbilang kaum di negara ini bahawa pentadbiran PH jauh lebih baik dan tidak korup seperti BN.

Related posts

Leave a Comment