Singapura siap siaga hadapi 5,000 kes

SINGAPURA 28 Sept. – Pemerintah sedang mempertingkatkan sumber untuk bersiap siaga bagi menghadapi kemungkinan kes harian Covid-19 mencecah lebih 5,000 di mana sekitar 10 peratus atau 500 orang mungkin perlu dimasukkan ke hospital.

Menteri Kewangan Lawrence Wong dalam wawancara bersama Bloomberg Television berkata, pesakit sekurang-kurangnya akan berada di hospital selama seminggu.

Wong berkata walaupun 0.2 peratus daripada kes positif Covid-19 memerlukan rawatan dalam unit jagaan rapi (ICU) sekitar 50 kali ganda jumlah pesakit memerlukan pemantauan rapi di hospital kerana mereka mungkin lebih berusia, mempunyai simptom serius atau lebih banyak penyakit lain.

“Bagi menyediakan penjagaan segera kepada pesakit yang memerlukan rawatan ICU, sekitar 10 peratus individu yang terkena jangkitan perlu dimasukkan ke hospital kerana mereka merupakan pesakit yang diasingkan dan dikenal pasti oleh doktor sebagai individu yang lebih mudah terjejas,” katanya.

Pada Ahad lalu, Singapura melaporkan 1,939 kes baru Covid-19, iaitu jumlah tertinggi setakat ini.

Wong yang juga pengerusi bersama pasukan bertindak berbilang kementerian Covid-19, berkata, jika kes harian di Singapura mencecah 5,000 jangkitan, ini bermakna 500 pesakit perlu tinggal di dalam hospital buat sekurang-kurangnya seminggu.

“Ini memerlukan banyak katil hospital dan ini yang sedang kita cuba lakukan untuk menyokong sistem hospital kami dengan menyediakan pusat perubatan, kemudahan perubatan. Ia bukan setakat peralatan, kakitangan perubatan juga perlu menangani jumlah kes lebih tinggi,” katanya.

Sebaik sahaja protokol jagaan kesihatan menjadi stabil, Singapura boleh meneruskan rancangan pembukaan semula ekonominya, termasuk perjalanan ke luar negara dan pelonggaran sekatan dalam negeri.

Wong berkata,  jumlah kes akan tetap tinggi dan virus akan terus merebak meskipun setelah mencapai tahap sedemikian.

“Ini yang dimaksudkan dengan meneruskan kehidupan dengan Covid-19 dan kita sedang mengorak langkah ke arahnya,” katanya mengulas langkah jarak selamat diperketatkan di bawah fasa penstabilan baru di kuat kuasakan.

Related posts

Leave a Comment