Tindakan biadab Phua robek keharmonian

KUALA LUMPUR 24 Jun –  Pergerakan Pemuda UMNO menuntut DAP mengambil tindakan tegas terhadap bekas Setiausaha Publisiti DAP, Tony Pua yang menggelarkan Barisan Nasional (BN) sebagai ‘pakatan korup’.

Ketuanya, Dr Akmal Saleh yang membidas kenyataan biadab itu mengingatkan tindakan individu seperti Tony Pua akan mengakibatkan keharmonian dan persefahaman yang ingin dibentuk tergendala serta berhenti di tengah jalan.

“Pua harus belajar bahawa kehadiran UMNO di dalam Kerajaan Perpaduan adalah aset penting memastikan nasib dan igauan ngeri orang Melayu ketika 22 bulan di zaman PH tidak kembali berulang.” katanya dalam satu kenyataan.

Kenyataan itu susulan ucapan, Pua sewaktu berucap pada Majlis Makan Malam Mengumpul Dana DAP di pekarangan Dewan Bandaraya Petaling Jaya (MBPJ) di sini, malam tadi menggelar BN yang kini bersama Pakatan Harapan (PH) dalam Kerajaan Perpaduan sebagai ‘corrupt coalition’ atau pakatan ‘korup’.

Mengulas lanjut, Akmal berkata, Pua harus menyedari bahawa tindakan beliau sedang merobek keharmonian dan kesepaduan yang sedang dibentuk di dalam Kerajaan Perpaduan yang lahir atas dasar toleransi serta semangat nasional.

Pemuda mengingatkan, pentadbiran BN yang Pua gelar sebagai ‘pakatan korup’, sudah memacu negara dengan pertumbuhan ekonomi mampan dan di bawah BN, Malaysia diangkat oleh Bank Dunia dan Forum Ekonomi Dunia (WEF) yang menyatakan, Malaysia adalah negara ke-23 paling kompetitif di dunia.

“Ini termasuklah kejayaan BN meningkatkan Keluaran Dalam Negara Kasar (KDNK) sehingga mencatatkan nilai RM1.4 trilion termasuklah usaha memperkasa aset syarikat berkaitan kerajaan (GLC) dan syarikat pelaburan mencecah beratus bilion dan beri pulangan tinggi kepada rakyat serta kerajaan seperti Khazanah Nasional yang naik dari RM32 bilion kepada RM116 bilion dan rizab tunai Petronas naik dari RM30 bilion kepada RM174 bilion,” katanya.

Sebaliknya kata beliau, ketika negara beralih kepada kepemimpinan PH di mana Pua sebagai penasihat kepada Menteri Kewangan ketika itu, Lim Guan Eng, negara melalui zaman gelap sehingga kerajaan dibina rebah dalam tempoh 22 bulan.

Dr Akmal berkata, Pua yang bertugas di Kementerian Kewangan ketika itu tidak mampu memacu perkembangan ekonomi negara sehingga KDNK jatuh merudum dan hutang negara meningkat secara mendadak.

Katanya, ini belum dikira dengan kejatuhan nilai mata wang Ringgit akibat tindakan dan keceluparan beliau yang memberi gambaran negatif mengenai negara.

“Justeru itu, Pergerakan Pemuda menyarankan agar Tony Pua untuk cermin dahulu diri sendiri sebelum mengeluarkan apa-apa kenyataan sedangkan beliau hanya tin kosong yang tidak memberi manfaat kepada pembangunan negara,” katanya.

Related posts

Leave a Comment