Belum ada keputusan harga beras naik

KOTA KINABALU 24 Jun – Kerajaan belum membuat sebarang keputusan berhubung harga  beras di negara ini yang akan mengalami kenaikan mulai bulan depan, kata Menteri Perdagangan Dalam Negeri dan Kos Sara Hidup, Salahuddin Ayub.

Beliau berkata, pihaknya juga belum menerima apa-apa maklumat berkaitan penyusutan hasil padi disebabkan fenomena el-nino, yang didakwa menjadi punca penurunan bekalan yang kemudiannya mendorong kenaikan harga beras.

“Kita belum dapat lagi fakta itu, saya baru baca hari ini tetapi memang kita bersedia sebenarnya untuk menghadapi fenomena el-nino ini.

Namun, kita sudah minta pegawai untuk mendapatkan maklumat daripada Kementerian Pertanian dan Keterjaminan Makanan, mungkin lewat petang ini dapat.

“Tapi desas-desus akan berlaku naik harga itu bukan keputusan kerajaan. Kita akan mengeluarkan kenyataan bersama Kementerian Pertanian dan Keterjaminan Makanan nanti,” katanya.

Beliau berkata demikian pada sidang media selepas lawatan kerja sempena Misi Rahmah Ekonomi Sempadan Malaysia – Brunei di Depo Petronas Dagangan Berhad Sepanggar, di sini, hari ini.

Salahuddin diminta mengulas laporan yang mengatakan harga beras dijangka naik mulai bulan depan berikutan pelbagai faktor, termasuk penyusutan hasil padi disebabkan cuaca panas.

Sementara itu, Salahuddin berkata, Misi Rahmah Ekonomi Sempadan Malaysia – Brunei, khususnya dengan Sabah, menumpukan pembekalan gas asli cecair (LPG) tidak bersubsidi dari Sabah ke negara jiran itu.

Sebagai permulaan, katanya, sebanyak 150 tan LPG dihantar ke Brunei, namun ia tertakluk kepada permintaan dari negara berkenaan.

“Ini satu pembekalan tanpa subsidi dan ia tidak menjejaskan keperluan isi rumah atau industri kita di sini. Kita ada lebihan 20 peratus LPG, jadi kita manfaatkan untuk kerjasama dengan Brunei.

“Saya juga bercadang mengadakan lawatan ke Brunei untuk melihat potensi kerjasama dalam merancakkan lagi aktiviti ekonomi sempadan. Kita teroka sebanyak mungkin dan mewujudkan peluang pekerjaan di kawasan sempadan Malaysia – Brunei, termasuk dengan Sabah,” katanya.

Related posts

Leave a Comment