Erdogan, Dr M setuju Sidang Kemuncak Istanbul

KUALA LUMPUR 22 Jun – Presiden Turkiye, Recep Tayyip Erdogan mencadangkan Sidang Kemuncak Istanbul yang akan mengetengahkan isu berkaitan hal ehwal umat dan negara Islam seperti yang diadakan di Kuala Lumpur, pada 2019.

Menurut kenyataan yang dikongsi dalam hantaran terbaharu di akaun Facebook Tun Dr Mahathir Mohamad semalam, Erdogan mencadangkan sidang itu diadakan sama ada pada September atau Oktober tahun ini.

Erdogan menyatakan hasrat itu kepada bekas Perdana Menteri dalam pertemuan antara kedua-duanya di Kompleks Presiden di Ankara, Turki, semalam.

Pertemuan itu berlangsung selama sejam dan perbincangan tertumpu kepada perkara yang dijalankan semasa Sidang Kemuncak KL pada 2019 yang diterajui Dr Mahathir selaku pengerusi.

Dalam perbincangan itu, Presiden Erdogan turut menyuarakan keinginan beliau agar Dr Mahathir serta pasukan Sidang Kemuncak KL bekerjasama dengan pihak Turki dalam cadangan penganjuran Sidang Kemuncak Istanbul.

Dr Mahathir dalam pertemuan itu turut mengambil kesempatan mengucapkan tahniah kepada Erdogan atas kejayaannya mengekalkan jawatan presiden dalam pilihan raya Turki baru-baru ini.

Beliau turut merakamkan ucapan takziah kepada mangsa gempa bumi di beberapa wilayah di republik itu yang turut mengorbankan ribuan rakyat negara itu.

“Terdapat juga banyak perbincangan mengenai nasib umat Islam dan keperluan untuk membantu umat Islam dan negara mereka yang menghadapi kesukaran dan peperangan,” kata kenyataan itu.

Dr Mahathir juga mengakui, Turki boleh menjadi negara contoh kepada negara Islam lain berikutan perkembangan pesat dan kemajuan negara itu dalam pelbagai bidang.

Hadir dalam pertemuan itu adalah isteri Dr Mahathir, Tun Dr Siti Hasmah Mohd Ali dan isteri Erdogan, Emine Erdogan.

Related posts

Leave a Comment