Empat kerusi pertindihan PH-BN belum selesai

PUTRAJAYA 22 Jun – Rundingan agihan kerusi antara Pakatan Harapan (PH) dan Barisan Nasional (BN) khususnya UMNO bagi menghadapi pilihan raya di enam negeri disifatkan paling mudah, kata Setiausaha Agung PKR, Saifuddin Nasution Ismail.

Beliau berkata rundingan bersama rakan parti dalam Kerajaan Perpaduan itu adalah lebih baik berbanding ketika PH bekerjasama dengan Pas sebelum ini yang dibayangi dengan isu pengkhianatan.

“Kalau satu paling susah, 10 paling senang, rundingan dengan UMNO terletak pada (skala) 9.5. Paling penting apabila berunding dengan UMNO, dia letak semua hujah atas meja. Apabila runding dengan Pas, dia ada laci bawah meja lagi,” katanya.

Saifuddin mendakwa, dalam sejarah kerjasama PKR dengan Pas berlaku pengkhianatan membabitkan kerusi Kota Damansara pada Pilihan Raya Umum Ke-13 (PRU13).

Ketika itu calon PKR, Dr Mohd Nasir Hashim tewas selepas Pas turut menurunkan calonnya di situ sehingga berlaku pertembungan tiga penjuru.

“Dalam sejarah kami dengan PAS, berlaku pengkhianatan oleh PAS. Kerusi Kota Damansara, kami kalah, calon kami Dr Nasir kalah apabila (Presiden PAS, Tan Sri Abdul) Hadi (Awang) letak menantu dia di situ, UMNO menang. Awak dah berjanji setuju, awak khianat, habislah.

“PKR pun buat begitu kepada DAP ketika Azmin di Sarawak. Sudah runding semua, selesailah. Kemudian dia keluarkan watikah kepada calon PKR untuk bertanding tiga penjuru menentang DAP. Siapa buat? Azmin,” katanya kepada media.

Mengenai isu pertindihan kerusi untuk enam PRN, Saifuddin Nasution berkata,  empat kerusi masih belum diputuskan, masing-masing dua di Selangor dan Kedah.

Bagaimanapun, beliau yakin isu pertindihan akan diselesaikan oleh pimpinan tertinggi PH dan BN dan beliau tidak melihat kerumitan untuk menyelesaikan pertindihan kerusi ini.

Sementara itu, Saifuddin Nasution yakin PH dapat mengekalkan Selangor, Negeri Sembilan dan Pulau Pinang selain komited untuk merampas Kedah pada PRN kelak.

“Saya dengan (Timbalan Presiden PKR), Rafizi (Ramli) dalam siri taklimat dalaman parti, kami optimis, kalau kena dengan caranya, kami boleh ambil balik Kedah walaupun Perikatan Nasional (PN) dakwa boleh sapu semua negeri. Tiada masalah.

“Kami masuk PRN di Kedah adalah untuk merampas Kedah berbanding kami masuk di Kelantan dan Terengganu untuk menghantar suara pembangkang dalam DUN (Dewan Undangan Negeri),” katanya.

Related posts

Leave a Comment