DUN Kelantan bubar hari ini

KOTA BHARU 22 Jun – Dewan Undangan Negeri (DUN) Kelantan, menjadi DUN pertama dibubarkan selepas Menteri Besar Ahmad Yakob mengumumkan Rabu lalu, bahawa Sultan Kelantan Sultan Muhammad V berkenan membubarkannya hari ini.

Pembubaran secara rasmi DUN yang mempunyai 45 kerusi bagi penggal ke-14 itu dilakukan empat hari lebih awal, berbanding tempoh mandat DUN yang sepatutnya berakhir pada 26 Jun ini.

Dengan pembubaran itu, Pilihan Raya Negeri (PRN) akan diadakan dalam tempoh 60 hari dan dijangka serentak dengan Kedah, Pulau Pinang, Selangor, Negeri Sembilan dan Terengganu.

Pada Pilihan Raya Umum ke-14 (PRU14), Pas mendominasi Kelantan apabila menang 37 kerusi diikuti Barisan Nasional (BN) menguasai lapan kerusi. Bagaimanapun seorang ADUN BN (Ayer Lanas) Datuk Seri Mustapa Mohamed bertindak keluar daripada UMNO dan menyertai Bersatu.

PRN Kelantan kali ini akan menyaksikan BN membuat kerjasama politik dengan Pakatan Harapan (PH), manakala Pas yang menerajui Kelantan sejak 1990  membentuk kerjasama dengan Bersatu menerusi Perikatan Nasional (PN).

Pas dijangka bertanding di 39 kerusi DUN manakala Bersatu akan menentang BN di enam kerusi manakala BN akan meletakkan calon di 31 kerusi sementara 14 kerusi diberikan kepada PH.

Related posts

Leave a Comment