Razarudin Ketua Polis Negara, Ayob Khan Timbalan

KUALA LUMPUR 21 Jun – Tan Sri Razarudin Husain @ Abd Rasid, 61 dilantik sebagai Ketua Polis Negara yang baharu selama dua tahun secara kontrak selepas bersara, berkuatkuasa 23 Jun 2023.

Pelantikan Razarudin Husain itu bagi menggantikan Tan Sri Acryl Sani Abdullah Sani yang bersara lebih awal.

Pada masa yang sama bagi mengisi kekosongan orang No.2 dalam pasukan polis itu, Datuk Seri Ayob Khan Mydin Pitchay , 57 dilantik sebagai Timbalan Ketua Polis Negara juga berkuat kuasa pada hari yang sama.

Menteri Dalam Negeri Datuk Seri Saifuddin Nasution Ismail mengumumkan pelantikan itu dalam dua kenyataan berasingan hari ini.

Saifuddin berkata, pelantikan itu mendapat perkenan Seri Paduka Baginda Yang di-Pertuan Agong dengan nasihat Perdana Menteri atas perakuan Suruhanjaya Pasukan Polis.

Razarudin yang dilahirkan pada 15 Mac 1963 di Dengkil, Selangor berkelulusan Ijazah Sarjana Sains Sosial Pengajian Kepolisan daripada Universiti Kebangsaan Malaysia menjawat pelbagai jawatan di peringkat Negeri dan Kontinjen.

Beliau memulakan tugas pada tahun 1984 di Jabatan Siasatan Jenayah (JSJ) Kontinjen Kedah sebagai Pegawai Penyiasat dan meneruskan khidmat di jabatan tersebut sehingga tahun 1996 dengan pangkat Penolong Penguasa Polis (ASP) di Daerah Muar, Johor.

“Beliau kemudiannya dilantik sebagai ASP Pentadbiran di Ibu Pejabat Polis Daerah Muar dan seterusnya dilantik sebagai Ketua Bahagian Pengurusan di daerah sama pada tahun 1997,” kata Saifuddin.

Pada tahun 1998, Razarudin kembali bertugas di JSJ Daerah Muar sebagai Pegawai Penyiasat Kanan dan di jabatan yang sama di Kontinjen Johor, pada tahun 2000 di Jabatan Siasatan Jenayah Narkotik Daerah Kluang sebelum menyambung pelajaran di Maktab PDRM Cheras.

Beliau juga pernah ditempatkan di JSJ Daerah Kota Setar dan dinaikkan pangkat ke Timbalan Penguasa Polis (DSP) dengan memegang jawatan sebagai Ketua Bahagian Siasatan Jenayah Daerah Sandakan.

Pernah dilantik sebagai Ketua Polis Daerah Kudat selama tiga tahun sebelum kembali ke JSJ Bukit Aman di Operasi Khas D8 dengan pangkat Superintenden dan
menyambung pengajian ke peringkat Ijazah Sarjana.

Beliau dinaikkan pangkat ke Penolong Pesuruhjaya Polis (ACP) dan ditempatkan sebagai Penolong Pengarah D9, JSJ Bukit Aman dan setelah itu ke Penolong Kanan Pesuruhjaya Polis (SAC) dengan jawatan Timbalan Komander, Special Task Force On Organise Crime (STFOC), Skuad Taktikal Khas 1 (Jenayah), Ibu Pejabat Polis Bukit Aman sebelum ke Kontinjen Pulau Pinang sebagai Ketua JSJ.

Razarudin kemudian dinaikkan pangkat ke Timbalan Pesuruhjaya Polis (DCP) sebagai Timbalan Pesuruhjaya Polis Sabah dan dilantik sebagai Timbalan Ketua Polis Perak dua tahun selepas itu, seterusnya dinaikkan pangkat ke Pesuruhjaya Polis dengan memegang jawatan sebagai Ketua Polis Perak.

Sebelum dilantik sebagai Timbalan Ketua Polis Negara mulai tahun 2021 sehingga kini Razarudin adalah Pengarah Jabatan Siasatan Jenayah Narkotik Bukit Aman selama setahun.

Sementara itu, Ayob Khan, yang sebelum ini Pengarah Jabatan Siasatan Jenayah (JSJ) Bukit Aman, dilahirkan pada 27 Julai 1966 di Kota Setar, Kedah.

Beliau yang berkelulusan Ijazah Sarjana Teknologi Maklumat dari Universiti Kebangsaan Malaysia (UKM) pernah menjawat pelbagai jawatan di peringkat Negeri dan Kontinjen.

Ayob Khan memulakan tugas pada tahun 1993 di Cawangan Khas Bukit Aman dari pangkat Penolong Penguasa Polis (ASP) sehingga ke pangkat Penolong Pesuruhjaya Polis (ACP) selama 15 tahun.

Beliau kemudiannya dinaikkan pangkat sebagai Penolong Kanan Pesuruhjaya Polis (SAC) dan ditempatkan di Urus Setia KPN (Penyelidikan dan Pembangunan) Jabatan Pengurusan Bukit Aman  sebelum kembali ke Cawangan Khas dengan pangkat Timbalan Pesuruhjaya Polis (DCP) pada tahun 2016.

Ayob Khan berkhidmat selama empat tahun dan telah dinaikkan pangkat ke Pesuruhjaya Polis (CP) pada tahun 2020 dan menjawat jawatan sebagai Ketua Polis Johor.

Pada tahun 2022, beliau kembali ke Bukit Aman sebagai Pengarah Jabatan Siasatan Jenayah Narkotik dan kini berkhidmat sebagai Pengarah Jabatan Siasatan Jenayah.

Related posts

Leave a Comment