Pengerusi FELDA tamat perkhidmatan lebih awal

KUALA LUMPUR 21 Jun – Pengerusi FELDA, Idris Jusoh akan menamatkan perkhidmatannya  berkuat kuasa 30 Jun ini, iaitu lebih awal dari tarikh sepatutnya iaitu Mei tahun depan.

Bekas Menteri Besar Terengganu itu berkata, tindakan beliau mengundur diri daripada jawatan berkenaan adalah bagi memberi laluan kepada kerajaan untuk melantik pengganti yang lebih bersesuaian.

“Saya telah menerima keputusan dari pejabat Perdana Menteri untuk mengundur diri dari jawatan Pengerusi FELDA berkuatkuasa pada 30/06/2023. Keputusan ini dibuat bagi memberi laluan kepada pimpinan negara melantik pengganti yang lebih sesuai,” katanya menerusi hantaran di Facebook, hari ini.

Idris mengucapkan terima kasih kepada Perdana Menteri, Anwar Ibrahim, yang memberi peluang kepadanya untuk menjawat jawatan berkenaan di bawah kepemimpinannya.

“Saya juga ingin mengambil kesempatan untuk mengucapkan jutaan terima kasih kepada semua warga peneroka, petugas FELDA dan semua yang banyak memberikan kerjasama sepanjang perkhidmatan saya,

“Semoga FELDA sentiasa berjaya dalam keberkatan,” katanya.

Idris, yang juga bekas Menteri Pendidikan itu dilantik sebagai Pengerusi FELDA pada 1 Mei 2020 sebelum disambung kontrak selama dua tahun berkuat kuasa Mei 2022 di bawah pentadbiran Ismail Sabri Yaakob.

Related posts

Leave a Comment