MAQIS rampas 18 tan gelatin dari Pakistan

PELABUHAN KLANG 20 Jun –  Jabatan Perkhidmatan Kuarantin dan Pemeriksaan Malaysia (MAQIS) Selangor berjaya merampas 18 tan gelatin dari Pakistan yang cuba diseludup masuk menerusi Pelabuhan Klang Utara dekat sini Jumaat lalu.

Pengarah MAQIS Selangor, Mohd Sobri Md Hashim, berkata gelatin yang dianggarkan bernilai RM635,383.33 itu dirampas hasil pemeriksaan yang dijalankan oleh pegawai penguat kuasa MAQIS pada pukul 11.30 pagi.

Katanya , pemeriksaan mendapati sebanyak 18,000 kilogram (kg) gelatin itu tidak mengikut syarat rawatan yang ditetapkan sebagaimana yang dinyatakan di dalam import permit dan ini merupakan kesalahan pertama syarikat tersebut.

“Mengimport dagangan yang tidak mematuhi syarat permit yang dikeluarkan oleh MAQIS adalah suatu kesalahan di bawah Seksyen 15 (1), Akta Perkhidmatan Kuarantin dan Pemeriksaan Malaysia 2011 [Akta728] yang boleh dihukum mengikut Seksyen 15 (2), akta yang sama.

Jika sabit kesalahan, pihak bertanggungjawab dengan barangan dagangan itu boleh didenda tidak melebihi RM100,000 atau dipenjara selama tempoh tidak melebihi enam tahun atau kedua-duanya sekali,” katanya dalam kenyataan, hari ini.

Beliau menegaskan, MAQIS sentiasa menjalankan pemeriksaan setiap keluaran pertanian yang masuk dalam negara bagi memastikan keluaran pertanian yang diimport mematuhi syarat dan peraturan yang ditetapkan oleh kerajaan.

“Langkah ini bagi memastikan barang dagangan adalah bebas daripada perosak dan penyakit serta halal untuk dimakan oleh rakyat dan seterusnya menjamin keselamatan makanan,” katanya.

Gelatin biasanya digunakan bagi mempelbagaikan produk sama ada sebagai bahan ramuan makanan dalam industri pemprosesan makanan.

Jelas Mohd. Sobri, ini merupakan kesalahan pertama syarikat tersebut dan kes disiasat mengikut Seksyen 15 (1), Akta Perkhidmatan Kuarantin dan Pemeriksaan Malaysia 2011 [Akta728] yang boleh dihukum di bawah Seksyen 15 (2) akta yang sama.

Related posts

Leave a Comment