Semua remaja disuntik sebelum Januari

TANJONG 11 Sept. – Keseluruhan remaja di negara ini dijangka menerima vaksin Covid-19 sebelum sesi persekolahan baharu bermula Januari tahun depan, kata Menteri Kesihatan Khairy Jamaluddin.

Beliau berkata proses pemberian vaksin kepada tiga juta remaja akan dimulakan bulan ini di beberapa negeri tertentu terlebih dahulu.

Bercakap pada satu sidang media di sini, beliau berkata proses pemberian vaksin kepada kira-kira 130,000 remaja di Pulau Pinang akan bermula hujung bulan ini dan ia akan dilaksanakan di sekolah masing-masing dengan kehadiran ibu bapa mereka.

“Murid-murid akan dipanggil untuk proses vaksinasi mengikut keutamaan bermula minggu ke empat bulan ini di Pulau Pinang. Saya akan tentukan minggu depan jadual vaksinasi remaja untuk negeri-negeri lain pula,” katanya.

Sementara itu Khairy berkata, pesakit di tahap satu dan dua yang berisiko tinggi di Pulau Pinang digalakkan menjalani kuarantin di Pusat Kuarantin dan Rawatan Covid-19 (PKRC) di Pusat Kecemerlangan Mara (MEC) Jawi di Nibong Tebal.

Beliau difahamkan kapasiti katil PKRC MEC berjumlah 1,038 namun ketika ini penggunaannya hanya 500.

“Kami memerlukan kerjasama wakil komuniti dan ADUN (Ahli Dewan Undangan Negeri) untuk memujuk pesakit-pesakit yang berisiko untuk menjalani kuarantin di PKRC bagi mengurangkan kadar jangkitan,” katanya.

Related posts

Leave a Comment