Pelabur semakin yakini Malaysia

PUTRAJAYA 20 Jun – Keyakinan pelabur terhadap Malaysia semakin baik dan ia akan mendorong lebih banyak pelaburan masuk ke negara ini tidak lama lagi, kata Menteri Komunikasi dan Digital, Fahmi Fadzil.

Beliau berkata misi pelaburannya sempena Minggu Teknologi London (LTW) 2023.

dari 12 hingga 16 Jun itu juga menyaksikan Malaysia meraih komitmen pelaburan bernilai RM8.3 bilion dalam pelbagai sektor teknologi digital.

“Mereka ada keyakinan tambahan. Insya-Allah, tidak mustahil, dalam masa tidak berapa lama lagi lebih banyak pelaburan masuk ke negara kita,” katanya pada perhimpunan bulanan Kementerian Komunikasi dan Digital (KKD) di sini hari ini.

Fahmi seterusnya menyeru agensi dan jabatan di bawah KKD untuk saling bekerjasama mengetengahkan produk digital atau industri kreatif yang bertepatan di forum antarabangsa seperti LTW tahun depan.

Sebagai contoh, Perbadanan Kemajuan Filem Nasional Malaysia (Finas) atau Malaysia Digital Economy Corporation (MDEC), wajar mengumpulkan produk bersesuaian daripada agensi-agensi KKD untuk diperkenalkan kerana ia membantu eksport ekonomi digital.

Fahmi berkata Finas perlu memainkan peranan membantu membawa karya filem dan industri kreatif untuk diketengahkan ke pasaran luar negara seperti di rantau Asia Tenggara yang mempunyai jumlah populasi 650 juta orang.

“Realitinya, kalau kita lihat audiens di Malaysia untuk filem, tidak besar mana. Daripada jumlah 34 juta rakyat Malaysia, yang benar-benar menonton filem mungkin tidak cecah 10 juta.

“Bila lihat rantau Asia Tenggara, jumlah penduduk 650 juta dan tidak perlu pergi jauh, Singapura, Indonesia dan Brunei ini, mereka ada rumpun Melayu dan Bahasa Melayu mudah difahami audiens, dan kita teliti usaha untuk eksport filem ke negara berkenaan,” katanya.

Pada masa yang sama beliau turut merakamkan penghargaan kepada industri filem negara yang menerima penganugerahan dan menempah kejayaan di peringkat antarabangsa.

Sebelum ini filem indie ‘Tiger Stripes’ terbitan syarikat Ghost GRRRL Pictures Sdn Bhd mencipta sejarah dengan menjadi filem Malaysia pertama memenangi hadiah utama untuk filem terbaik di Minggu Pengkritik Cannes, bar sisi (sidebar) untuk Festival Filem Cannes yang berprestij dari 17 hingga 25 Mei lalu.

Filem ‘Abang Adik’ pula memenangi tiga anugerah utama pada Far East Film Festival Ke-25 yang berlangsung di Udine, Itali pada 21 hingga 29 April lalu, selain berjaya memenangi trofi Golden Mulberry, Black Dragon Critics dan Anugerah White Mulberry untuk filem cereka terbaik.

Related posts

Leave a Comment