Kuota pelajar perubahan kekal

KUALA LUMPUR 20 Jun – Kerajaan mengekalkan kuota pengambilan pelajar perubatan di institut pengajian tinggi (IPT) tempatan pada 4,820 orang setahun, seperti dibenarkan Kementerian Kesihatan (KKM).

Menteri Pendidikan Tinggi, Mohamed Khaled Nordin bagaimanapun berkata , jumlah siswazah sebenar adalah lebih rendah iaitu kira-kira 4,000 orang setahun.

“Kementerian akan terus kekalkan jumlah yang ditetapkan kerana antaranya permohonan ramai untuk mengambil jurusan perubatan dan kadar (yuran) yang ditetapkan untuk universiti tempatan adalah murah, maka demikian kita sebenarnya melakukan pendemokrasian pendidikan.

Kita membenarkan ramai memohon untuk ambil jurusan perubatan, kalau kita kurangkan (pengambilan) dalam negara maka sudah tentu ada yang terpaksa ke luar negara dan kosnya sangat tinggi,” katanya menjawab soalan tambahan Prpf. Dr Mohamed Haniffa Abdullah di Dewan Negara hari ini.

Beliau berkata jika pengambilan pelajar dihadkan bagi jurusan itu, ia akan merugikan negara memandangkan kerajaan telah membuat pelaburan bagi menghasilkan doktor, di samping keyakinan terhadap sistem pendidikan negara untuk melahirkan pelajar cemerlang dalam bidang itu.

Mohamed Khaled berkata, siswazah perubatan dalam negara pada 2020 adalah 2,401 orang, 2021 (3,132) diikuti 2022 (3,934 orang) manakala anggaran siswazah perubatan tempatan bagi tiga tahun akan datang adalah kira-kira 3,934 orang setahun iaitu 2,281 daripada IPT awam dan 1,653 daripada IPT swasta.

Katanya, antara faktor jumlah siswazah yang rendah adalah kegagalan menamatkan pengajian, menukar jurusan dan lain-lain.

Related posts

Leave a Comment