Kedah cadang bubar DUN 28 Jun

ALOR SETAR 15 Jun –  Kerajaan negeri akan menyembahkan cadangan untuk pembubaran Dewan Undangan Negeri (DUN) Kedah pada 28 Jun ini, bagi membolehkan Pilihan Raya Negeri (PRN) diadakan serentak bersama lima lagi negeri lain.

Menteri Besar, Muhammad Sanusi Md Nor, berkata beliau akan menyembah maklum ke atas Sultan Kedah, Sultan Sallehuddin Badlishah, bagi mendapatkan perkenan baginda pada 25 Jun ini.

Katanya, pemilihan tarikh 28 Jun itu dibuat bersempena hari Wukuf di Arafah bagi umat Islam yang menunaikan fardu haji, yang membawa maksud sebagai ‘berhenti’.

“Bubar DUN saya kena dapat perkenan Tuanku (Sultan Kedah) dahulu…Itu (tarikh 28 Jun) cadangan sahaja, kalau Tuanku perkenan baharu saya akan umum secara rasmi.

Kalau Tuanku tak perkenan kita boleh lanjut tarikh itu sampai tarikh matang DUN Kedah pada 4 Julai, jadi terserah kepada Tuanku,” katanya pada sidang media di Wisma Darul Aman di sini, hari ini.

Sebelum ini, Kelantan menetapkan 22 Jun, manakala Negeri Sembilan dan Pulau Pinang masing-masing pada 28 dan 30 Jun bagi pembubaran DUN masing-masing manakala Selangor dan Terengganu belum mengumumkan tarikh pembubaran itu.

Muhammad Sanusi berkata, selepas pembubaran DUN dibuat, terserah kepada Suruhanjaya Pilihan Raya (SPR) untuk menentukan tarikh penamaan calon, pengundian awal, undi pos dan hari pembuangan undi.

Ketika ditanya desas-desus nama Datuk Seri Mukhriz Mahathir sebagai calon Menteri Besar Kedah, beliau berkata bekas Ahli Parlimen Jerlun itu juga sudah memuat naik status tak akan kembali.

“Nak jadi Menteri Besar kena menang pilihan raya dulu. Kalau jadi calon tapi tak menang bukan boleh dilantik jadi senator negeri,” katanya.

Mengulas dakwaan kononnya kerajaan negeri tidak berbuat apa-apa sepanjang tiga tahun pentadbiran di bawah Perikatan Nasional (PN), beliau menegaskan tuduhan itu dibuat orang politik yang buta mata dan pekak telinga.

Katanya, kerajaan negeri melakukan perkara termasuk berjaya menarik pelbagai pelaburan baharu sehingga menjadikan Kedah antara lokasi tarikan pelabur termasuk dari luar negara.

“Itu saya kata jangan jadi pekak dan buta, pandanglah dengan hati ikhlas dan berlapang dada untuk mengakui perkara yang baik. Yang bercakap (itu) pernah jadi kerajaan, (jadi) apabila kita buat lebih sikit daripada mereka, biasalah orang politik yang tak ada hati perut kata macam-macam,” katanya.

Related posts

Leave a Comment