KKM jamin tiada kenaikan fi sewenang-wenangnya
KUALA LUMPUR: Kadar fi rendah di klinik dan hospital kerajaan tidak akan dinaikkan sewenang-wenangnya hingga memberi kesan pada golongan tidak berkemampuan, kata Menteri Kesihatan, Dr Zaliha Mustafa.
Beliau memberi jaminan langkah penstrukturan semula kadar fi di fasiliti penjagaan kesihatan awam yang dicadangkan dalam Kertas Putih Kesihatan itu tidak akan dilaksanakan dengan kadar segera.
Sebaliknya, beliau memaklumkan cadangan itu akan diteliti secara rapi dan telus serta membabitkan libat urus dengan semua pihak berkepentingan, sebelum dipertimbang untuk dilaksanakan.
“Paling penting ialah memastikan rakyat, terutama golongan tidak berkemampuan dan golongan rentan tidak terkesan, selain akses kepada perkhidmatan kesihatan akan terus dinikmati,” katanya ketika menggulung usul Kertas Putih Kesihatan hari ini.
Terdahulu ketika sesi perbahasan, isu kenaikan bayaran di fasiliti kesihatan awam dibangkitkan beberapa Ahli Parlimen, termasuk Tan Sri Muhyiddin Yassin (PN-Pagoh); Dr Ahmad Yunus Hairi (PN-Kuala Langat); Hassan Abdul Karim (PH-Pasir Gudang) dan Syahredzan Johan (PH-Bangi).
Keempat-empat Ahli Parlimen kerajaan dan pembangkang itu secara umumnya senada dan menggesa kerajaan untuk tidak tergesa-gesa menaikkan kadar fi di klinik kesihatan dan hospital kerajaan.
Usul Kertas Putih Kesihatan kemudiannya diluluskan sebaik selesai penggulungan Menteri Kesihatan, dengan mendapat sokongan majoriti Ahli Parlimen melalui undian suara.
Kertas putih yang menggariskan strategi reformasi kesihatan negara untuk 15 tahun akan datang, diluluskan selepas dibahaskan oleh 28 Ahli Parlimen selama hampir empat jam.
Dokumen setebal 57 halaman yang dimulakan kerajaan terdahulu, menggariskan empat tonggak dan 15 strategi reformasi kesihatan bagi mewujudkan satu sistem kesihatan yang memfokuskan kepada perkhidmatan pencegahan dan promotif supaya rakyat kekal sihat dan sejahtera.
Dr Zaliha seterusnya memberi jaminan fasiliti kesihatan kerajaan yang diberikan autonomi akan kekal di bawah pemilikan KKM sebagai organisasi tidak berasaskan keuntungan dan tidak akan diswastakan.
Jelasnya, tujuan utama pemberian autonomi kepada fasiliti KKM adalah untuk memberi fleksibiliti kepada fasliti berkenaan dari segi pengurusan, membolehkan persaingan sama rata antara sektor awam dan swasta serta membolehkan integrasi perkhidmatan kesihatan yang lebih menyeluruh.
“Namun, sebarang fi perkhidmatan akan ditentukan oleh kementerian melalui reformasi kewangan dan pembelian strategik sistem kesihatan. Pembelian perkhidmatan juga akan dirunding.
“Parameter autonomi seperti pengurusan kewangan dan pengambilan kakitangan juga akan dibincangkan secara fasa perancangan kelas pelaksanaan,” katanya.
Menjawab celahan Datuk Awang Hashim (PN-Pendang) yang meminta tambahan doktor pakar di Hospital Pendang, Dr Zaliha memaklumkan KKM sedang melaksanakan pemetaan bagi mengenal pasti keperluan petugas perubatan di hospital awam seluruh negara.
“Memang kita sedang membuat pemetaan tentang keperluan petugas kesihatan, termasuk pakar di seluruh negara. Kita akan tengok jika perlu letak (doktor pakar) di Hospital Pendang, Insya-Allah kita akan lakukan,” katanya.
Sementara itu Muhyiddin mengingatkan kerajaan supaya tidak tergesa-gesa untuk meningkatkan bayaran perkhidmatan kesihatan di hospital dan klinik kerajaan kerana ini akan menambah lagi beban rakyat.
Manakala Hassan juga mahu kerajaan mengekalkan dahulu kadar bayaran semasa di fasiliti kesihatan awam, seperti mana yang berjaya dilaksanakan oleh beberapa pentadbiran terdahulu.
“Memang betul yang saya lihat dan saya tahu, rawatan pesakit luar hanya bernilai RM1 dan nilai ini bukan nilai ubat atau perkhidmatan doktor tetapi ada implikasi undang-undang, tetapi nilai ini adalah kontrak antara pesakit dengan kerajaan, dan ada nilai balasan dalam bentuk wang,” katanya.
Sementara itu, Datuk Seri Dr Dzulkefly Ahmad (PH-Kuala Selangor) pula menggesa Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim mengetuai pelaksanaan strategi reformasi yang digariskan dalam Kertas Putih Kesihatan bagi mengelak semua perancangan itu gagal atau ‘mati sebelum lahir’.
