Ahli politik, usahawan calon Presiden Singapura

SINGAPURA 13 Jun –  Permohonan bagi menyertai Pilihan Raya Presiden Singapura dibuka hari ini dengan dua orang individu setakat semalam menawarkan diri bagi pemilihan yang dijadualkan berlangsung pada September ini.

Mendahului senarai, Menteri Kanan dan Menteri Penyelaras Dasar Sosial, Tharman Shanmugaratnam yang mengumumkan kesediaannya bertanding jawatan itu pada 8 Jun lalu dan akan meletak jawatan dalam Kabinet pada 7 Julai depan.

Semalam (Isnin), pengasas bersama Harvey Norman Ossia, George Goh, mengumumkan hasratnya untuk menyertai saingan bagi mengisi kekosongan yang bakal ditinggalkan Halimah Yacob yang tidak mempertahankan jawatan itu.

Permohonan bagi Pilihan Raya Presiden akan ditutup pada hari kelima selepas Writ Pilihan Raya dikeluarkan dan bakal calon perlu membuat permohonan bagi Sijil Kelayakan serta mengemukakan Pengisytiharan Tergolong Dalam Masyarakat.

Tharman, 66 dalam pengumumannya untuk bertanding memberitahu telah menghantar surat kepada Perdana Menteri Lee Hsien Loong bagi menyatakan hasratnya untuk bersara daripada politik dan semua jawatan dalam Kerajaan.

Selain meletak jawatan dalam Parti Tindakan Rakyat (PAP) dan Kabinet, beliau juga

akan melepaskan jawatan pengerusi Pihak Berkuasa Kewangan Singapura (MAS), Timbalan Pengerusi Government of Singapore Investment Corporation (GIC), Pengerusi Majlis Penasihat Antarabangsa Lembaga Pembangunan Ekonomi dan jawatan lain yang disandang atas kapasiti jawatan menterinya.

Tharman yang juga Anggota Parlimen (AP) untuk GRC Jurong sebelum ini mengalu-alukan saingan untuk jawatan itu ketika timbul desas desus mengenai penampilan seorang lagi calon iaitu Goh.

“Mempunyai saingan penting untuk saya. Saya lebih rela menang atau kalah dengan adanya pertandingan. Keseluruhan pendekatan saya adalah untuk tidak mengelak daripada pertandingan, ia sentiasa begitu. Itulah cara saya membuktikan diri saya,”  Tharman dalam satu laporan media.

Sementara itu,  Goh 63,  adalah pengerusi Ossia International, iaitu peruncit kasut, sukan dan fesyen yang disenaraikan dalam Bursa Singapura dan juga Timbalan Pengerusi Pertama Holdings Limited.

Satu kenyataan daripada pasukan media beliau menyatakan bahawa Goh akan bertanding sebagai calon bebas.

Menurut kenyataan itu, Goh tidak mempunyai ‘bebanan politik’ dan tidak ada sebarang pertalian atau hubungan dengan mana-mana parti politik yang terdahulu atau sekarang.

Beliau juga tidak pernah berkhidmat dalam sektor awam sebaliknya adalah seorang usahawan yang mula bekerja pada usia 16 tahun, dan sejak itu telah membina empayar perniagaan yang meliputi 14 negara.

Selain pencapaian dalam bidang perniagaan, beliau merupakan seorang duta berpengalaman yang dilantik sebagai duta ke Maghribi sejak 2017 dan meletakkan batu asas yang kukuh dalam menjalin hubungan dagang antara kedua dua negara.

Menurut laporan BH, Goh bersama isterinya, Lysa, telah menjadi pengasas pertubuhan amal Border Mission Limited pada 2015 yang bermatlamat memberikan bantuan kepada komuniti terpinggir dan miskin di Singapura dan di kawasan Himalaya.

Beliau juga merupakan penasihat kepada Institut Silang Budaya Puan Noor Aishah (PNAICI), dan anggota lembaga Persatuan Seni-Budaya Kreatif Melayu (CMAC).

“PNAICI dan CMAC telah mendekatkan saya dengan masyarakat Melayu. Ini menjadi penyambung kepada hubungan saya semasa di kampung lagi apabila kami hidup bersama dengan masyarakat Melayu, India dan Cina,’‘ katanya.

Related posts

Leave a Comment