PUTRAJAYA 13 Jun – Lawatan mengejut Menteri Besar Johor Onn Hafiz Ghazi ke Hospital Sultan Ismail (HSI) dan Hospital Sultanah Aminah (HSA) Johor Bahru baru-baru ini membawa hasil apabila Kementerian Kesihatan meluluskan peruntukan khas sebanyak RM771,600.
Peruntukan khas itu bagi pembelian aset perubatan dan bukan perubatan untuk keperluan HSI dan HSA Johor Bahru dan pada masa yang sama Jabatan Kesihatan Negeri (JKN) akan mendapat 35 orang jururawat tetap dan perjawatan lain.
Menteri Kesihatan, Dr Zaliha Mustafa ketika mengumumkan demikian berkata, peruntukan khas itu adalah bagi pembukaan semula dua wad di hospital berkenaan yang sebelum ini ditutup kerana kekurangan aset perubatan serta kakitangan.
Katanya, keperluan yang diperlukan termasuk set katil, Defib With Pacing, Basic Dinamp, Vital Sign 4 Channel, ECG Machine dan Portable X-Ray Viewer.
Onn Hafiz sebelum ini dalam lawatannya berkata, HSI memerlukan penyelesaian segera berikutan kekurangan doktor dan jururawat menyebabkan Wad 9A dan 10A yang membabitkan lebih 100 katil pesakit tidak dapat digunakan.
Isu sama juga menyebabkan hanya 10 dari 18 bilik pembedahan dapat digunakan di HSI mengakibatkan pesakit terpaksa menunggu lama untuk mendapatkan rawatan.
Pada 23 Mei lalu, Jabatan Kesihatan Negeri Johor (JKNJ) juga dilaporkan berdepan isu kekurangan kakitangan kesihatan, terutamanya doktor dan jururawat yang dianggarkan hampir 2,800 staf di negeri ini.
Sementara itu Dr Zaliha Mustafa memberitahu, waran peruntukan perbelanjaan mengurus sebanyak RM634,916 juga sudah diturunkan kepada Jabatan Kesihatan Negeri (JKN) Johor bagi perolehan aset bukan perubatan (ABR) untuk memenuhi keperluan yang mendesak di kedua hospital terbabit.
Di samping itu, JKN Johor juga akan menerima seramai 35 orang jururawat perjawatan tetap dan perjawatan lain termasuk Penolong Perubatan Kesihatan dan beberapa jawatan kontrak lain sedang menunggu untuk disahkan.
“KKM akan mengambil tindakan penyelesaian segera bagi memenuhi keperluan dua buah hospital itu dan perkara itu sedang dalam tindakan KKM dengan kerjasama agensi pusat,” katanya dalam kenyataan semalam.
Baru-baru ini, Menteri Besar Johor, Datuk Onn Hafiz Ghazi mengadakan lawatan mengejut ke HSI dan HSA Johor Bahru susulan penutupan dua wad dan 10 bilik pembedahan berikutan kekurangan aset perubatan serta sumber manusia terutama pegawai perubatan dan jururawat.
Zaliha berkata, pihaknya sentiasa komited dalam isu kekurangan petugas kesihatan di fasiliti-fasiliti KKM ditangani dengan sebaiknya bagi memastikan penempatan petugas kesihatan termasuk doktor, jururawat, farmasi dan yang lainnya menepati keperluan semasa sesebuah fasiliti.
Katanya, kemaskini data dan pemetaan dilaksanakan bagi memastikan agar tiada berlaku maldistribusi petugas, malah ianya dapat mengenalpasti keperluan dan kehendak optimum operasi di mana-mana hospital mahupun klinik kesihatan terbabit.
Sementara itu, Onn Hafiz bagi pihak Kerajaan Negeri Johor, mengucapkan jutaan terima kasih kepada Dr Zaliha Mustafa dan pihak Kementerian Kesihatan Malaysia atas perkongsian bantuan ini.
“Tidak lupa juga kepada Dato’ Dr Zulkapli Mohamed, Ketua Pengarah Perkhidmatan Awam dan Datuk Seri Norazman Ayob, TKSU KKM atas keprihatinan mereka turun padang tempoh hari,” katanya melalui Facebooknya.
