JOHOR BAHRU 11 Jun – Wee Ka Siong tidak bertanding mempertahankan jawatan sebagai Pengerusi MCA Bahagian Johor Bahru hari ini sekaligus melepaskan jawatan yang disandangnya selama 15 tahun.
Sebelum itu, Ka Siong pernah memegang jawatan sebagai Setiausaha MCA Bahagian itu selama 15 tahun.
““Hari ini secara rasminya saya melepaskan jawatan di peringkat bahagian, agak sedih juga kerana telah berada di bahagian ini sejak saya bujang dan kali terakhir saya berucap di sini.
Saya bermula dengan biro aduan awam MCA Bahagian, di mana saya terlibat menguruskan mangsa-mangsa penipuan, mangsa ah long dan lain-lain kes, sehingga menjadi Ketua Bahagian.
“Tetapi saya yakin dan percaya perlu adanya peralihan kepimpinan di peringkat bahagian, bagi meneruskan kesinambungan demi kesejahteraan masa depan parti,” katanya selepas mengundi bagi pemilihan jawatan Ketua MCA Bahagian Johor Bahru yang diadakan di Dewan Jubli Intan, di sini hari ini.
Menurut Ahli Parlimen Ayer Hitam itu, MCA Bahagian Johor Bahru juga telah terbukti melahirkan ramai pemimpin politik , bukan sahaja di peringkat parti tetapi juga di dalam Kabinet kerajaan seperti bekas Presiden MCA mendiang Tan Sri Lee San Choon dan bekas Pengerusi MCA Johor mendiang Datuk Freddie Long.
“Saya yakin MCA Bahagian Johor Bahru akan terus berjaya mencapai lebih banyak kejayaan pada masa depan,” tambahnya.
Sementara itu, melalui Facebooknya, beliau berkata, perjalanan karier politiknya tidak semua berjalan lancar dan telah melalui pelbagai cabaran, pasang surut dalam politik untuk berada di tempat sekarang.
Bagaimanapun beliau menghargai sokongan yang baik daripada rakan-rakan dari bahagian Johor Bahru.
“Tidak kira sejauh mana atau setinggi mana saya mendaki, bahagian MCA Johor Bahru akan sentiasa kekal sebagai rumah saya.
Bahagian ini juga telah menyaksikan banyak detik penting dalam hidup saya, termasuk perkahwinan saya dan menjadi jurutera bertauliah. Ramai rakan dari bahagian ini telah berkongsi peristiwa penting ini hinggalah saya diberi amanah memimpin parti,” katanya.
Menerusi pemilihan pagi ini, jawatan Ketua MCA Bahagian Johor Bahru kini disandang Bong Seng Heng yang juga bekas Ketua Pemuda Bahagian itu, yang meraih 152 undi berbanding pencabarnya, Ang Boon Heng dengan 45 undi.
