Guna ilmu politik bukan tujuan picisan – Anwar

TANJONG 12 Jun – Perdana Menteri, Anwar Ibrahim menegur pemimpin yang menggunakan ilmu politik untuk tujuan picisan, yang membangkitkan keresahan rakyat hanya melalui bahagian tertentu sejarah.

Merujuk isu Pulau Pinang milik Kedah yang dicetuskan Menteri Besar, Muhammad Sanusi Md Nor baru-baru ini, Anwar berkata, ilmu politik sepatutnya digunakan untuk selamatkan rakyat.

“Betul atau tidak Pulau Pinang kepunyaan Kedah? Ya benar dahulu. Siapa tandatangan perjanjian 1957? Sultan Kedah, Sultan Badlishah Sultan Abdul Hamid Halim Shah tandatangan untuk nyatakan Pulau Pinang, Kedah, Kelantan dan lain-lain negeri bentuk Persekutuan Tanah Melayu.

“Kemudian ada perjanjan lain seperti Inggeris Siam, Perjanjian Inggeris-Belanda yang memecahkan Kerajaan Melayu Johor-Riau. Jadi pemimpin kena baca semua ini, jangan guna ilmu politik untuk tujuan picisan, gunakan untuk selamatkan rakyat,” katanya.

Beliau berkata demikian pada program Temu Anwar di Dewan Tuanku Syed Putra, Universiti Sains Malaysia (USM) di sini, petang tadi.

Anwar menegaskan, pemimpin juga perlu berilmu dan membaca sebelum mengeluarkan sebarang kenyataan atau mencetuskan isu.

“Baca buku sejarah itu, bila baca sejarah Siam bagaimana? Bagaimana Brunei di Sarawak, Sulu di Sabah dan sebelum itu Kerajaan Sriwijaya. Jadi baca, kalau nak jadi pimpinan lebih lagi mencabar. Jangan main suara politik picisan, guna ilmu dan selamatkan rakyat,” katanya.

Sementara itu pada sesi ramah mesra bersama rakyat di pekarangan Masjid Daerah Barat Daya, Anwar menegaskan Pulau Pinang harus diterajui oleh kepemimpinan ‘orang cerdik’ untuk mengukuhkan negeri itu di bawah pentadbiran Pakatan Harapan (PH).

Perdana Menteri juga memberi jaminan akan membantu Pulau Pinang menyelesaikan masalah negeri yang membabitkan kerajaan Pusat.

“Mintalah Pulau Pinang ini kukuh, saya berhubung rapat dengan Ketua Menteri apa yang kita boleh selesaikan di peringkat Pusat kita akan selesaikan, peringkat negeri kena jaga, jangan main soal musuh.

“Saya tak boleh orang ambil alih Pulau Pinang. Jadi orang Pulau Pinang bagi orang cerdik perintah, tolonglah,” katanya

Mengenai isu Pulau Pinang yang didakwa milik Kedah yang terus menjadi polemik hangat diperkatakan ketika ini, Pengerusi PH itu sekali lagi menegaskan Pulau Pinang tidak boleh ‘diambil’ negeri lain.

“Duk (asyik) kira nak pi (pergi) ambil negeri lain, soalnya boleh ke tak boleh?. Tak boleh. Siapa cakap? Peguam Negara, Raja-Raja Melayu termasuk Almarhum Sultan Kedah Sultan Badlishah

100 tahun lalu Pulau Pinang di bawah Kedah, 200 tahun lalu Kedah di bawah Siam. Cerdik la sikit,” katanya.

Muhammad Sanusi pada 29 Mei lalu dilaporkan berkata, Kedah dan Pulau Pinang tidak ada sempadan kerana Pulau Pinang masih hak Kedah dan mendakwa Kedah hanya mempunyai sempadan dengan Perak dan Perlis.

Berikutan itu, sejumlah laporan polis dibuat terhadapnya dan Polis Diraja Malaysia (PDRM) merakam percakapan Muhammad Sanusi berhubung kenyataannya itu.

PDRM kini dalam tindakan melengkapkan kertas siasatan sebelum merujuk ke Pejabat Peguam Negara selari dengan peruntukan Perkara 145(3) Perlembagaan Persekutuan dalam tempoh terdeka, namun tidak menyatakan secara terperinci butiran rakaman percakapan berkenaan.

Related posts

Leave a Comment