“Mari kita sirami pokok ini”

KUALA LUMPUR 10 Jun – UMNO sudah tidak ada banyak masa untuk bekerja bagi mempertahankan maruah dan martabat, parti dengan memastikan kemenangan yang boleh dibanggakan pada pilihan raya negeri .

Timbalan Presiden UMNO, Mohamad Hasan berkata, rata-rata enam negeri akan bubarkan Dewan Undangan Negeri pada hujung bulan dan dalam Akta Suruhanjaya Pilihan Raya (SPR), ada 60 hari untuk diadakan pilihan raya.

Bagaimanapun SPR dijangka tidak sampai ke hujung 60 hari, dan ini bermakna akan ada enam minggu semaksimumnya daripada sekarang sebelum PRN.

“Jika kita letak 24 jam satu hari kita bekerja untuk parti pun, kita tidak banyak masa lagi. Ini misi kita untuk mempertahankan maruah dan martabat, maka mari kita sama-sama teruskan tekad untuk pastikan kita dapat kemenangan yang boleh kita banggakan,” katanya.

Beliau berkata demikian dalam ucapan penggulungan pada Perhimpunan Agung UMNO (PAU) 2023 di Pusat Dagangan Dunia (WTC) di sini, hari ini.

Katanya, UMNO mahu bangkit semula selepas kalah dalam dua Pilihan Raya Umum (PRU) berturut-turut, sekali gus melunaskan ‘hutang’ kepada anak cucu untuk mengembalikan semula kekuatan parti.

Mengulas hutang yang perlu dilunaskan, Mohamad berkata, UMNO umpama pokok yang besar dan ramai yang sudah menikmati hasilnya, justeru ia perlu terus dijaga dan dipastikan hidup.

“Janganlah selepas kita sudah menikmati hasilnya atau berlindung di bawahnya, kita nak bunuh dan tebang pokok ini.

“Ramai lagi anak cucu kita esok nak makan dan berteduh. Tugas kita (sekarang) mari sirami pokok ini kerana ia tempat untuk kita berlindung dan menaruh harapan masa depan,” katanya.

PRN akan diadakan di enam negeri iaitu Kelantan, Terengganu, Kedah, Selangor, Negeri Sembilan dan Pulau Pinang.

Related posts

Leave a Comment