Kurangkan sindir menyindir, baiki kelemahan

KUALA LUMPUR 10 Jun – Ahli UMNO boleh menilai sendiri dan membuat penilaian dengan bijak segala kritikan yang dilontarkan oleh bekas pemimpin UMNO  sama ada yang digantung atau dipecat daripada parti.

Timbalan Presiden UMNO, Mohamad Hasan berkata, UMNO tidak boleh menghalang orang bercakap tetapi ahli UMNO tidak sekadar mengambil bulat-bulat kerana kadang-kadang itu hanyalah perang psikologi dan melepaskan geram

“Sebab kita mengamalkan kebebasan bersuara. Tambahan pula mereka yang dipecat bukan ahli, tapi yang digantung itu mereka nak bercakap, kita tak boleh menahan.

“Saya jangka dan harap ahli boleh membuat penilaian masing-masing. Kadang-kadang ada ucapan dilontarkan hanya ‘psywar’ (perang psikologi)…harap ahli UMNO tidak terganggu,” katanya.

Mohamad yang bercakap kepada media semasa melawat Laman Media Perhimpunan Agung UMNO hari ini berkata, UMNO tidak mampu lagi berpecah, berselisih dan berpuak-puak.

“Kita move forward. Kurangkan sindir-menyindir antara satu sama lain. Kalau ada cadangan atau teguran, gunakan saluran yang ada, bincang dan baiki kelemahan. Kita ini organisasi memang tidak lekang daripada kelemahan,” katanya.

Sementara itu, mengulas desakan Pemuda UMNO supaya DAP memohon maaf kepada parti, Mohamad mengulangi kenyataan sebelum ini bahawa ia bukan satu kesalahan, sebaliknya sesuatu yang baik.

“Saya bila diminta pandangan berkenaan dengan tuntutan permohonan maaf oleh Pemuda kepada DAP, saya kata tak ada salahnya. Itu adalah satu perkara baik. Jika DAP boleh membuat permohonan maaf kepada rakyat Sarawak, kerajaan Sarawak.. kalau boleh (minta maaf juga dengan UMNO).

“Kita menjadi rakan dalam Kerajaan Perpaduan ini, jadi ini (mohon maaf sedikit sebanyak membantu) untuk menghapuskan syak wasangka dan kesangsian antara satu sama lain,” katanya.

Apa pun, beliau berkata isu desakan permohonan maaf oleh DAP kepada ahli UMNO yang dilontarkan Pemuda UMNO kelmarin tidak seharusnya dijadikan polemik sehingga berupaya menjadi sebab keretakan Kerajaan Perpaduan.

Katanya , walaupun masing-masing boleh menyampaikan pandangan serta penilaian, pada masa sama ia juga mestilah mengambil kira kedudukan UMNO dalam kerajaan ketika ini.

Kelmarin, Ketua Pemuda UMNO, Dr Muhamad Akmal Saleh ketika menyampaikan ucapan dasar ketua sayap itu menggesa supaya DAP memohon maaf kepada ahli UMNO atas tohmahan yang mereka sampaikan kepada parti itu sebelum ini.

Bagaimanapun , Setiausaha Agung DAP, Anthony Loke dalam kenyataan balas sebaliknya meminta Pemuda UMNO berhenti mengungkit kisah lalu dan fokus untuk memperkukuhkan Kerajaan Perpaduan

Jelasnya, kalau parti-parti terus berpolemik kisah silam, ia tidak akan berkesudahan sedangkan kerajaan sudah terbentuk lebih enam bulan dan telah berfungsi.

Related posts

Leave a Comment