Tak seteruk ini jika Putrajaya ikut ‘timing’

KUALA LUMPUR 10 Jun –  Kedudukan UMNO tidak seteruk sekarang jika ‘Putrajaya’ mematuhi keputusan mengadakan Pilihan Raya Umum ke-15 (PRU-15) lebih awal sejurus kemenangan Pilihan Raya Negeri (PRN) Melaka dan Johor.

Ahli Majlis Kerja Tertinggi (MKT) UMNO, Ahmad Maslan, berkata dalam politik, masa yang tepat sangat penting bagi memastikan parti boleh mencapai kemenangan dalam pilihan raya

Bekas Setiausaha Agung UMNO itu mengakui gelombang serta semangat parti pasca kemenangan dalam PRN Johor dan Melaka begitu kuat, malah ketika itu juga bekas Presiden UMNO Datuk Seri Najib Razak, masih dapat membantu parti untuk menang.

“Jika pihak ‘Putrajaya’ (kerajaan ketika itu diterajui Datuk Seri Ismail Sabri Yaakob sebagai Perdana Menteri) ikut keputusan bersama – ketika gelombang kemenangan (PRN) Melaka (BN menang 21 daripada 28 kerusi) serta Johor (BN menang 40 daripada 56 kerusi), semangat masih tinggi dan ketika #BossKu (Najib) masih di luar – adakan PRU15, maka nasib UMNO dan BN tidak seteruk ini.

“(Faktor) ‘timing’ (pemilihan waktu) sangat penting dalam politik. Yang lepas (perlu) dijadikan ingatan,” katanya melalui Twitter hari ini.

Kenyataan Ahmad yang juga Ahli Parlimen Pontian itu dipercayai merujuk kepada keputusan Kabinet diterajui Ismail Sabri yang tidak mengikut keputusan parti yang meminta PRU15 diadakan lebih awal.

Semalam, bekas Ahli Majlis Tertinggi UMNO, Datuk Seri Tajuddin Abdul Rahman yang hadir mengejut di luar Perhimpunan Agung UMNO di Pusat Dagangan Dunia (WTC) Kuala Lumpur mendakwa Ahmad sebagai punca kegagalan UMNO dalam PRU15.

Tajuddin yang kini digantung enam tahun oleh UMNO turut mendakwa Ahmad yang ketika itu Setiausaha Agung UMNO, tidak memberikan nasihat sewajarnya kepada Presiden UMNO, Datuk Seri Dr Ahmad Zahid Hamidi ketika UMNO lemah ketika itu.

“Dia tidak menjadi penasihat yang betul kepada Presiden (Datuk Seri Ahmad Zahid Hamidi). Akar umbi dah beritahu kepada parti (berkaitan dengan calon) namun dia (Ahmad) tak nak dengar.

“Orang nak calon tempatan, tetapi parti ketika itu hantar calon luar…jadi berlaku pemberontakan akar umbi dan (akar umbi) memilih calon lawan sebagai protes, siapa yang rugi,” katanya.

Menurut Ahmad, ketika menjadi Setiausaha Agung UMNO, beliau hadir tiga mesyuarat utama parti itu iaitu mesyuarat ‘Top Five’ atau lima kepemimpinan tertinggi parti, mesyuarat Biro Politik yang dianggotai 21 Ahli MKT dan mesyuarat MKT disertai 56 ahli.

Katanya, sebagai setiausaha agung beliau hanya pelaksana keputusan tiga mesyuarat utama parti itu.

“Ada keputusan penting tapi tak dapat dilaksana. Contohnya, PRU15 patut perlu seawal mungkin, sebaiknya selepas PRN Melaka dan PRN Johor,” katanya.

Related posts

Leave a Comment