Jokowi tiba bagi lawatan dua hari

SEPANG 7 Jun – Presiden Indonesia Joko Widodo dan isteri Iriana Joko Widodo tiba di sini petang ini untuk melakukan lawatan kerja dua hari di Malaysia.

Menteri Luar Dr Zambry Abdul Kadir menyambut ketibaan Jokowi yang turut disertai Duta Besar Indonesia ke Malaysia Hermono.

Sejurus tiba di Kompleks Bunga Raya Lapangan Terbang Antarabangsa Kuala Lumpur (KLIA), Jokowi memeriksa kawalan kehormatan setempat terdiri daripada 28 pegawai dan anggota Batalion Pertama Regimen Renjer Diraja diketuai Kapten Mohd Nor Zhafran Al-Ahmad.

Pelbagai program telah diatur sepanjang lawatan itu yang turut disertai beberapa orang anggota Kabinet Indonesia.

Jokowi dijadual mengadakan pertemuan dengan Perdana Menteri Anwar Ibrahim di Seri Perdana di Putrajaya esok, selain menghadiri santapan petang bersama Yang di-Pertuan Agong Al-Sultan Abdullah Ri’ayatuddin Al-Mustafa Billah Shah di Istana Negara.

Jokowi dan Anwar juga dijadual menyaksikan pertukaran beberapa perjanjian yang akan ditandatangani oleh wakil kementerian serta agensi berkaitan dari kedua-dua negara.

Lawatan ini sangat signifikan dalam usaha kedua-dua pihak serumpun untuk meningkatkan lagi hubungan erat yang telah lama terjalin antara Malaysia dan Republik Indonesia dalam pelbagai bidang termasuk perdagangan, pelaburan dan pembudayaan.

Related posts

Leave a Comment