Thailand terima 200,000 dos vaksin

BANGKOK 24 Feb. – Thailand hari ini menerima 200,000 dos vaksin Covid-19 keluaran syarikat Sinovac Life Sciences Co of China.

Pesawat Thai Airways yang membawa vaksin itu tiba dari Beijing di Lapangan Terbang Suvarnabhumi kira-kira pukul 10.05 pagi ini dan disambut Perdana Menteri Prayut Chan-o-cha.

Vaksin itu akan disimpan hingga Jumaat ini sebelum diedar pada hari Sabtu di hospital tertentu sebelum vaksinasi bermula Isnin.

Mereka yang diutamakan termasuk para pekerja kesihatan dengan kesemuanya bakal menerima vaksin itu, dalam masa tiga hari.

Lebih separuh daripada 200,000 dos vaksin itu sudah diperuntukkan untuk wilayah Samut Sakhon, pusat penularan terbaru Covid-19 di Thailand, serta ibu kota Bangkok.

Wilayah lain termasuk, Pathum Thani, Nonthaburi, Samut Prakan, Tak, Nakhon Pathom, Samut Songkhram, Ratchaburi, Chon Buri, Phuket, Surat Thani dan Chiang Mai.

Thailand dijangka menerima lagi 800,000 dos vaksin itu bulan depan, dan lagi sejuta dos pada April.

Related posts

Leave a Comment