Suntik vaksin pertama dapat AS$100

NEW YORK: Mulai Jumaat ini, New York menawarkan ganjaran tunai AS$100 kepada penduduk yang tampil menerima suntikan vaksin pertama.

Datuk Bandar, Bill de Blasio berkata, insentif itu adalah sebagai galakan meningkatkan kadar vaksinasi di bandar berkenaan.

Katanya, pihaknya akan membuka  pusat vaksinasi yang dikendalikan pihak bandar New York, dan mereka yang hadir mendapat suntikan pertama, akan diberi AS$100.

Ganjaran tunai ini adalah tambahan kepada insentif sedia ada yang diumumkan sebelum ini yang menawarkan tiket loteri, biasiswa, perjalanan percuma bagi tren bawah tanah, serta tiket percuma bagi acara sukan dan muzium.

Selain New York, beberapa bandar lain turut menawarkan ganjaran tunai, seperti di New Mexico dan Gadsden, Alabama.

Ditanya mengenai mereka yang sudah mendapat suntikan, beliau mengucapkan terima kasih kerana telah melakukan ‘perkara yang betul’.

“Itu adalah sesuatu yang tepat untuk diri sendiri, keluarga, komuniti anda. Anda melakukan perkara yang betul dan ganjarannya adalah anda meletakkan diri dalam keadaan selamat dan anda masih hidup kerana itu,” katanya. “

Menurut de Blasio, lebih 59 peratus penduduk di bandar itu menerima sekurang-kurangnya satu dos tetapi jumlah itu belum mencukupi.

Setakat ini lebih sembilan juta dos telah disuntik.

Related posts

Leave a Comment