Mahkamah Rayuan Perancis tolak tuntutan Kumpulan Sulu

Mahkamah Rayuan Perancis tolak tuntutan Kumpulan Sulu

KUALA LUMPUR: Mahkamah Rayuan Perancis mengekalkan keputusan menolak penguatkuasaan ‘Partial Award’ kepada kumpulan mendakwa sebagai waris Sulu yang sebelum itu diputuskan penimbang tara, Dr Gonzalo Stampa pada 2020.

Keputusan itu memberikan kemenangan muktamad kepada Malaysia untuk menegakkan undang-undang, sekali gus menolak tuntutan tidak masuk akal yang dikemukakan Kumpulan Sulu.

Menteri di Jabatan Perdana Menteri (Undang-undang dan Reformasi Institusi), Datuk Seri Azalina Othman Said, berkata ini bermakna pihak yang menuntut itu tidak lagi boleh bergantung kepada keputusan salah yang dibuat di Perancis pada Februari 2022 atas apa-apa tujuan.

Katanya, Mahkamah Rayuan Paris juga mendapati penimbang tara itu terkhilaf dalam bidang kuasanya.

Ia adalah keputusan yang muktamad dan utama, kemenangan untuk Malaysia menegakkan undang-undang, yang menyebabkan kekalahan kepada pihak penuntut dan pembiaya mereka.

“Salah satu strategi kasar yang dilakukan penuntut menerusi ‘Partial Award’ itu adalah menyasarkan aset diplomatik Malaysia di Perancis (termasuk sebahagian kedutaan).

Malaysia juga memerangi tindakan itu melalui dasar kekebalan diplomatik, justeru pihak penuntut ketika ini harus menarik balik tindakan, susulan keputusan hari ini, yang mana ‘Partial Award’ di Perancis itu tidak berkesan,” katanya dalam satu kenyataan dikeluarkan di laman Twitternya, hari ini.

Pada 16 Mac lalu, Mahkamah Rayuan Paris dilaporkan menolak tuntutan Kumpulan Sulu untuk menguatkuasakan ‘Final Award’ seperti dimohon Malaysia bagi mengetepikan perkara itu.

Dalam penghakimannya itu, Mahkamah Rayuan Paris menyatakan tuntutan yang difailkan Kumpulan Sulu sebagai pihak yang menuntut itu tidak boleh diterima.

Oleh itu, keputusan yang diperoleh Malaysia pada 12 Julai 2022 untuk menangguhkan penguatkuasaan Final Award itu kekal.

Azalina menjelaskan, keputusan Mahkamah Rayuan Paris sekali gus akan membatalkan ‘Final Award’ berjumlah hampir AS$15 bilion (RM69 bilion) yang diputuskan oleh Stampa untuk diberikan kepada pihak penuntut.

Katanya, Malaysia ketika ini sedang berusaha supaya pembatalan itu direkodkan dalam keputusan mahkamah secepat mungkin, yang boleh mengakibatkan usaha penguatkuasaan oleh pihak penuntut.

“Stampa memberikan ‘Final Award’ meskipun pelantikannya sudah dibatalkan oleh Mahkamah Sepanyol yang sebelum ini melantiknya, atas dasar Malaysia tidak dirujuk terlebih dulu dalam pelantikannya.

“Berbanding menuruti arahan mahkamah Sepanyol untuk berhenti bertindak sebagai penimbang tara, Stampa memindahkan langkah timbang tara itu ke Perancis dan seterusnya mengeluarkan ‘Final Award’.

“Beliau melanggar perintah mahkamah Sepanyol dan mengakibatkan penyalahgunaan ketara terhadap proses timbang tara antarabangsa,” katanya.

Azalina berkata, Malaysia juga percaya, keputusan Mahkamah Rayuan Perancis hari ini akan menamatkan usaha pihak menuntut dan pembiaya mereka, Therium, yang mahu menguatkuasa penganugerahan keputusan yang menyalahi undang-undang dan hasrat mendapat pampasan yang besar daripada Malaysia.

Katanya, Kerajaan Malaysia juga akan terus mengambil semua tindakan yang perlu termasuk berkaitan undang-undang untuk menamatkan tuntutan itu dan memastikan kepentingan Malaysia, imuniti kedaulatan dan kedaulatan negara dilindungi sepanjang masa.

Related posts

Leave a Comment