25 kluster aktif di Singapura

SINGAPURA 22 Julai – Terdapat 25 kluster aktif di Singapura yang setiap kluster merekodkan antara tiga hingga 454 jangkitan, demikian menurut Kementerian Kesihatan (MoH).

Kluster terbaru termasuklah kluster Kasino Marina Bay Sands dengan 11 kes dan kluster Kes 65231 dengan empat jangkitan.

MoH kini sedang menyiasat kes jangkitan Covid-19 melibatkan  individu yang bekerja atau mengunjungi Kasino Marina Bay Sands kerana siasatan epidemiologi mendapati kemungkinan masih berlaku penularan di kasino itu.

Bagi membendung rantaian penularan dan membolehkan kerja-kerja pembersihan di premis itu, Kasino Marina Bay Sands akan ditutup kepada umum mulai hari ini sehingga 5 Ogos.

Ujian khas akan dijalankan ke atas semua kakitangan kasino berkenaan manakala ujian percuma juga akan dilanjutkan kepada orang awam yang mengunjungi Kasino Marina Bay Sands antara 7 Julai dengan 21 Julai.

Sementara itu, sebanyak 22 kes dikesan dalam kalangan individu yang bekerja atau mengunjungi Pasar & Pusat Makanan Clementi 448 manakala lagi 12 jangkitan dikesan di Pasar Whampoa Drive.

Kedua-dua pasar itu ditutup kepada orang awam mulai hari ini sehingga 5 Ogos untuk memutuskan rantaian penularan dan membolehkan kerja-kerja pembersihan premis.

Related posts

Leave a Comment