Melampau tuduh Sanusi lakukan jenayah

PUTRAJAYA  6 Jun – Dr Mahathir Mohamad menyifatkan melampau untuk menuduh Datuk Seri Muhammad Sanusi Md Nor melakukan jenayah susulan kenyataan kontroversi Menteri Besar itu bahawa Pulau Pinang adalah milik Kedah.

Bekas Perdana Menteri, itu mendakwa terdapat perbezaan jelas membabitkan perjanjian antara Pulau Pinang dan Singapura.

Katanya, berdasarkan sejarah , Sultan Kedah ketika itu berkenan supaya Syarikat Hindia Timur Inggeris mengambil alih Pulau Pinang dengan bayaran 6,000 dolar Sepanyol setahun.

“Kemudiannya, ia ditambah dengan sebidang tanah besar yang bertentangan dengan pulau itu membabitkan harga 4,000 dolar Sepanyol setahun.

Melalui perjanjian itu, ia memerlukan syarikat British membantu dalam pertahanan Kedah sekiranya diserang oleh negara asing. Kita tahu bahawa British gagal untuk menghormati kata-kata mereka,” katanya melalui Facebooknya , hari ini.

Menurut Dr Mahathir, perjanjian berkenaan penyerahan Singapura adalah berbeza, di mana ia jelas merupakan jualan secara terus.

British membuat bayaran sekali sahaja sebanyak 60,000 dolar Sepanyol kepada Temenggong.

“Perlu diingat bahawa Sultan Ali, sultan pada masa itu tidak menandatangani. Beliau dianugerahkan sebuah rumah di Kampung Gelam di Singapura. Kemurahan hati ini tidak disertai dengan pengiktirafan British terhadap Ali sebagai sultan.

“Perbezaan antara perjanjian Pulau Pinang dan perjanjian Singapura adalah jelas,” kata Dr Mahathir.

Dr. Mahathir berkata, beliau tidak akan mengatakan sebarang perkara berhubung dua negeri itu tetapi mendakwa pernah memujuk Menteri Kewangan ketika itu Lim Guan Eng untuk memberi lebih RM10,000 kepada Kedah setiap tahun.

“Saya tidak meminta sesiapa untuk mempercayai saya,” katanya.

Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim memberitahu Dewan Rakyat hari ini, polis memulakan siasatan terhadap Muhammad Sanusi susulan kenyataan kontroversinya bahawa Pulau Pinang milik Kedah, baru-baru ini.

Anwar berkata, sebahagian daripada laporan polis sudah dikemukakan kepada Pejabat Peguam Negara (AGC) untuk mendapatkan pertimbangan, jika pemimpin itu wajar dikenakan tindakan undang-undang.

Related posts

Leave a Comment