Pas sedia beri laluan kepada Bersatu

KUALA LUMPUR 3 Jun – Pas Terengganu bersedia memberi laluan kepada Bersatu untuk bertanding di beberapa kerusi di negeri itu, kata Naib Presiden, Dr Ahmad Samsuri Mokhtar.

Bagaimanapun, Menteri Besar Terengganu itu berkata pembahagian kerusi antara Pas dan Bersatu bagi Pilihan Raya Negeri (PRN) Terengganu akan diputuskan dua hari lagi.

Katanya, setakat ini pihak terbabit masih dalam perbincangan berhubung pengagihan kerusi itu.

“Dalam dua hari lagi kita akan mengadakan perbincangan bersama kalangan pimpinan (kedua-dua parti) untuk penentuan kerusi yang ingin ditandingi,” katanya pada sidang media Majlis Menandatangani Memorandum Persefahaman KMI Healthcare dan Perbadanan Kemajuan Ekonomi Negeri Perlis di sini, hari ini.

Bersatu sebelum ini menyarankan supaya Pas Terengganu mempertimbangkan 10 kerusi Dewan Undangan Negeri (DUN) yang dikuasai BN kepada parti itu untuk ditandingi pada PRN.

Pada Pilihan Raya Umum Ke-14 lalu, BN menguasai 10 daripada 38 kerusi DUN membabitkan Hulu Besut, Kuala Besut, Jertih, Batu Rakit, Permaisuri, Langkap, Seberang Takir, Bukit Besi, Kijal dan Telemong, manakala baki kerusi dikuasai Pas.

Sementara itu, Dr Ahmad Samsuri berkata, pihaknya tiada masalah berhubung kesediaan Pengerusi Perikatan Nasional (PN), Muhyiddin Yassin untuk bekerjasama dengan bekas Perdana Menteri, Dr Mahathir Mohamad dan menyifatkan hal itu sebagai satu nilai tambah buat PRN nanti.

“Apa yang penting adalah keinginan yang mahu dicapai oleh PN, sama ada Pas, Bersatu dan Gerakan adalah untuk menggembleng sokongan sebanyak mungkin dalam kalangan rakyat bukan saja Melayu Islam bahkan daripada komuniti lain,” katanya.

Related posts

Leave a Comment