Lesen dua syarikat bas digantung

PUTRAJAYA 29 Mei – Lesen pengendali dua syarikat bas ekspres yang terbabit dalam kemalangan pada 12 dan 13 Mei lalu, S.V Juta Sdn Bhd dan Syarikat Kejora Masyhur Sdn Bhd, digantung berkuat kuasa 12 Jun ini.

Menurut Kementerian Pengangkutan (MOT), penggantungan lesen pengendali itu dibuat Agensi Pengangkutan Awam Darat (APAD) melalui Jawatankuasa Pembatalan dan Penggantungan Lesen (JPPL) selepas siasatan dijalankan terhadap insiden kemalangan membabitkan bas ekspres syarikat itu.

S.V Juta digantung lesen pengendali selama 58 hari atas kesalahan gagal mematuhi syarat berkanun lesen Akta Pengangkutan Awam Darat 2010 [Akta 715], kesalahan berulang dan pemanduan secara berbahaya.

Kejora Masyhur pula digantung selama 37 hari atas kesalahan gagal mematuhi syarat lesen iaitu keperluan keselamatan seperti yang tersenarai di bawah Pemeriksaan dan Audit Keselamatan Jabatan Pengangkutan Jalan (JPJ).

Dalam kenyataannya, MOT menjelaskan sepanjang tempoh penggantungan, sebarang transaksi berhubung dengan lesen pengendali bagi kedua-dua syarikat tidak akan dibenarkan.

Mengikut rekod, pada 12 Mei lalu, bas ekspres Starmart Express di bawah syarikat S.V Juta berlanggar dengan 12 kenderaan lain di Kilometer 256.8 Lebuhraya Utara-Selatan (Plus), manakala pada 13 Mei, bas ekspres TRA Xpress di bawah syarikat Kejora Masyhur berlanggar dengan dua lori di Kilometer 257.8 Plus arah selatan.

Hasil siasatan APAD juga mendapati kedua-dua syarikat tidak mematuhi keperluan syarat berkanun lesen yang telah ditetapkan, manakala semakan dengan agensi berkaitan mendapati kedua-dua syarikat itu mempunyai rekod saman lampau yang tinggi.

Related posts

Leave a Comment