“Jangan perasan, itu cerita zaman bila”

SEPANG 28 Mei – Jangan nak perasan” kata Presiden UMNO  Dr Ahmad Zahid Hamidi manakala Timbalan Presiden PKR, Rafizi Ramli pula bertanya Presiden Pas, Abdul Hadi Awang “itu cerita zaman bila”.

Dua pemimpin itu mengulas kenyataan Abdul Hadi bahawa ada pihak dalam kerajaan menghubunginya untuk berjumpa bagi menawarkan Pas menyertai Kerajaan Perpaduan.

Ahmad Zahid yang juga Timbalan Perdana Menteri berkata, seeloknya Pas terus bersama Bersatu dan sekutu lain dalam Perikatan Nasional (PN).

“Saya rasa eloklah mereka (Pas) terus berkawan dengan Bersatu. Jangan perasan ada sesiapa nak tawarkan pada dia (Hadi),” katanya kepada pemberita pada Karnival Kerjaya MyFuturJobs dan Skim Keselamatan Sosial Suri Rumah di Dewan Serbaguna Datuk Haji Abdullah Ahmad, di BAGAN  DATUK, hari ini.

Ahmad Zahid yang juga Pengerusi Barisan Nasional (BN) turut menolak dakwaan Abdul Hadi itu yang di luar pengetahuannya.

Semalam Abdul Hadi mendakwa tawaran itu muncul kerana Pakatan Harapan (PH) khususnya PKR menyedari kedudukannya tidak kukuh, apatah lagi jumlah kerusi Melayu parti berkenaan tidak sebanyak Pas.

Abdul Hadi turut menjelaskan, ketika ini pihaknya terbuka dengan mana-mana tawaran oleh sesiapa pun tetapi tawaran berkenaan mesti tidak lari daripada prinsip, matlamat dan hala tuju Pas

Sementara itu, di ISKANDAR PUTERI, Rafizi yang mengulas perkara sama berkata perkara itu tidak pernah berbangkit.

“Saya tak pernah dengar perkara itu. Sebenarnya ada tiga orang yang banyak rundingkan mengenai pembentukan Kerajaan Perpaduan iaitu Presiden PKR, Datuk Seri Anwar Ibrahim, saya dan Setiausaha Agung, Datuk Seri Saifuddin Nasution Ismail.

Saya tak tahu dakwaan Abdul Hadi itu cerita zaman bila, namun apa boleh saya katakan, sepanjang terbabit dalam pembentukan kerajaan malah sehingga sekarang, saya tidak tahu langsung perkara ini kecuali ada pihak lain buat tawaran, wallahua’lam,” katanya.

Beliau berkata demikian pada sidang media selepas Sesi Libat Urus Kajian Separuh Penggal Rancangan Malaysia Kedua Belas 2021-2025 (RMK12) bersama Kerajaan Johor di sini, hari ini.

Mengulas dakwaan kedudukan PKR tidak kukuh, Rafizi yang juga Ahli Parlimen Pandan berkata, itu hanyalah pendapat Presiden Pas itu.

“Itu pendapat dia namun perlu diingat Perdana Menteri daripada PKR dan kita adalah sebahagian daripada Kerajaan Perpaduan.

“Dia (Abdul Hadi) pun pernah kata macam-macam sebelum ini, jadi jika setakat dia kata PKR tak kukuh itu kira baiklah,” katanya.

Related posts

Leave a Comment