Tiada kompromi isu perkauman, agama

KUALA LANGAT 27 Mei –  Timbalan Perdana Menteri, Dr Ahmad Zahid Hamidi, mengingatkan, kerajaan tidak akan berkompromi dengan isu perkauman dan agama yang dimanipulasi kumpulan atau pihak tertentu di negara ini.

Beliau berkata, tindakan seumpama itu termasuk yang menggunakan pempengaruh untuk meracuni pemikiran rakyat, dikhuatiri boleh menjejaskan kestabilan politik dibina kerajaan serta mengganggu-gugat ketenteraman rakyat dan negara.

“Jangan main isu perkauman. Jangan main isu agama. Saya tegaskan, tidak ada kompromi isu agama dan bangsa kita, walau apa pun manipulasi dilakukan.

“Kita (kerajaan) terus mengakarumbikan soal bangsa kita (Melayu) tanpa ketepikan agama dan bangsa lain. Tidak cair keimanan kalau kita santuni bangsa lain,” katanya berucap pada Majlis Anugerah Gerakan Belia 4B Malaysia di sini, malam ini.

Beliau berkata, usaha kerajaan membina kestabilan politik pada masa ini bukan berpaksikan kepentingan politik, tetapi untuk pembangunan negara dan kedudukan ekonomi supaya lebih baik.

“Ini untuk mewujudkan keharmonian dalam kalangan kita juga kerana Malaysia negara majmuk.

Begitu juga soal kestabilan, bukan semata agenda politik tapi pembangunan negara dan ekonomi lebih baik serta kesejahteraan rakyat keseluruhannya,” katanya.

Ahmad Zahid yang juga Menteri Kemajuan Desa dan Wilayah berkata, pertubuhan belia harus fokus kepada tiga elemen penting untuk meningkatkan peranannya sebagai penggerak belia.

Katanya , organisasi itu mesti melihat kepada aspek pembabitan ahlinya dalam sektor ekonomi dan untuk meningkatkan status sosioekonomi.

Justeru, beliau menawarkan agar organisai memanfaatkan Program Latihan Teknikal dan Vokasional (TVET) yang menawarkan 529 kursus untuk bukan saja ahli tapi pemimpin organisasi belia.

Katanya, ketika ini terdapat 280 institusi TVET di bawah Kementerian Kemajuan Desa dan Wilayah (KKDW).

KKDW juga menawarkan skim rangsangan untuk belia bagi memanfaatkan lebih 2,000 maahad tahfiz berdaftar supaya pelajar tahfiz yang akan menjadi hufaz selepas hafal 30 juzuk dapat mengambil SPM (Sijil Pelajaran Malaysia) dan TVET.

“Sudah tiba masa organisasi belia bersama kerajaan untuk mengangkat para hufaz negara supaya menjadi kumpulan profesional,” katanya.

Related posts

Leave a Comment