KUALA LUMPUR 27 Jan. – Rasuah akan menjadi semakin parah, jika reformasi menyeluruh gagal dilaksanakan di samping wujud amalan keadilan terpilih dalam pengendalian kes-kes rasuah, kata kata Abdul Hadi Awang.
Ahli Parlimen Marang itu menegaskan, reformasi sebenar boleh dicapai dalam tempoh singkat dengan mencontohi kepemimpinan Khalifah Umar Abdul Aziz yang berjaya melaksanakan perubahan besar dalam kira-kira dua tahun sahaja.
“Reformasi tidak memerlukan dua penggal. Kalau sampai dua penggal, itu bukan reformasi tetapi ‘reforkerusi’, bergilir-gilir ambil jawatan. Selepas orang ini, orang lain. Jika reformasi menyeluruh tidak berlaku, ia akan menjadi kosong,” katanya ketika membahaskan Usul Menjunjung Kasih Titah Diraja di Dewan Rakyat hari ini.
Presiden Pas itu menegaskan, undang-undang sepatutnya bukan sahaja menghukum penerima rasuah, malah pemberi dan orang tengah yang terlibat, sambil menegaskan mereka wajar diberi perlindungan sebagai saksi bagi memperkukuh penguatkuasaan.
“Mereka (pemberi dan orang tengah) sepatutnya dibenarkan mendapat perlindungan dengan menjadi saksi dan sebagainya. Akibatnya, timbul kelemahan dalam penguatkuasaan undang-undang,” katanya.
Beliau mendakwa undang-undang terpilih, orang yang sokong kerajaan diselamatkan.
“Yang tidak sokong, jaga… kena (tindakan), menyebabkan payung kerajaan bocor, menjadi pelindung kepada perasuah. Nak selamat, sokong kerajaan. Kalau tidak sokong, tidak selamat,” katanya
Menggunakan analogi monyet dan beruk berebut pisang, Hadi mendakwa dana kerajaan bagi projek-projek disedut sedikit demi sedikit oleh orang tengah, menyebabkan peruntukan sebenar tidak mencukupi untuk pelaksanaan projek.
“Beruk memotong pisang tidak sekata sehingga tinggal kulit sahaja, barulah monyet dapat. Inilah yang berlaku – sebab projek gagal, hospital tidak berjalan, senjata tidak sampai dan senjata terpakai dibeli,” katanya.
Beliau mendakwa, kebocoran dana berlaku di pelbagai peringkat apabila pihak tertentu mengambil peratusan masing-masing sepanjang proses pelaksanaan projek.
“Wang itu habis di tengah jalan, disedut oleh beruk-beruk yang menjaga ‘sekatan jalan raya’ ini. Ada yang ambil 10 peratus, lima peratus di sepanjang jalan, akhirnya bajet tidak mencukupi,” katanya.
Abdul Hadi turut mendakwa, pegawai bawahan berkemungkinan dijadikan kambing hitam untuk melindungi pegawai atasan dalam kes rasuah, kerana wujud unsur paksaan dan ugutan.
“Beruk-beruk ini selamat, manakala pegawai dijadikan kambing hitam dan disembelih,” ujarnya.
Beliau turut mempersoalkan pendedahan nama pegawai tertentu, sambil tidak menolak kemungkinan terdapat tokoh lebih besar yang menjadi dalang kepada kegiatan rasuah tersebut.
“Mungkin ada beruk yang lebih besar di belakangnya. Pegawai-pegawai ini dipaksa dan diugut oleh beruk-beruk yang lebih besar untuk melakukan perbuatan rasuah,” katanya.
Nnnn
