Awang Askandar cadang tubuh Skuad Ekstrem

KOTA KINABALU27 Mei – Allahyarham Leftenan Kolonel Awang Askandar Ampuan Yaacub mencadangkan penubuhan Skuad Ekstrem di bawah Angkatan Pertahanan Awam Malaysia (APM) untuk membantu negara luar yang dilanda bencana.

Ketua Pesuruhjaya APM, Aminurrahim Mohamed, berkata Pengarah APM Kedah itu menzahirkan hasrat berkenaan bagi membantu negara seperti Turkiye yang dilanda gempa bumi.

Beliau turut menyifatkan peserta misi pendakian Malaysia Everest 2023 (ME2023) itu sebagai individu yang aktif dan pemilihannya sebagai antara peserta misi pendakian ME2023 menaikkan imej APM.

“Komitmen beliau sangat tinggi,” katanya kepada pemberita selepas jenazah Allahyarham selamat dikebumikan di Tanah Perkuburan Islam Kampung Benoni di sini kira-kira pukul 5.20 petang ini.

Allahyarham dikebumikan bersebelahan pusara ibunya, Dayang Fatimah Awang Ampuan Jair di tanah perkuburan berkenaan yang dihadiri kira-kira 1,000 orang terdiri ahli keluarga, warga Angkatan Pertahanan Awam Malaysia (APM) dan orang awam.

Jenazah sebelum itu disembahyangkan di Masjid Jamek As Salam, Kampung Benoni.

Terdahulu, jenazah tiba di MAS Kargo Kota Kinabalu jam 2.20 petang menggunakan pesawat Malaysia Airlines dari Lapangan Terbang Antarabangsa Kuala Lumpur (KLIA) menerusi penerbangan MH 2646.

Ketibaan jenazah disambut beberapa tetamu kenamaan, pegawai dan anggota APM Sabah serta abang Allahyarham, Awang Asim.

Turut hadir Menteri di Jabatan Perdana Menteri (Hal Ehwal Sabah, Sarawak dan Tugas-tugas Khas), Armizan Mohd Ali, Timbalan Menteri Luar,  Mohamad Alamin, Ketua Pesuruhjaya APM, Aminurrahim Mohamed dan Penasihat Khas Perhubungan Antarabangsa dan Pelaburan Asing kepada Ketua Menteri Sabah, Anifah Aman.

Awang Askandar dilaporkan terjatuh ketika melakukan pendakian ke puncak Gunung Everest pada ketinggian kira-kira 8,000 meter dari aras laut sebelum disahkan meninggal dunia ketika hendak diberikan rawatan di Kem 4.

Related posts

Leave a Comment