Malaysia Madani: Tekad Perpaduan Penuhi Harapan

KUALA LUMPUR 27 Mei – Menteri Komunikasi dan Digital, Fahmi Fadzil hari ini mengumumkan ‘Malaysia Madani: Tekad Perpaduan Penuhi Harapan’ dipilih sebagai tema Hari Kebangsaan dan Hari Malaysia 2023.

Beliau turut melancarkan logo Hari Kebangsaan dan Hari Malaysia 2023 yang memilih logo Malaysia Madani.

Fahmi berkata, tema Hari Kebangsaan dan Hari Malaysia 2023 dipilih menerusi kerjasama panel pemikir yang mendukung semangat kesukarelawan yang terdiri daripada 16 orang pakar pelbagai bidang.

Mereka yang terbabit adalah ahli akademik, tokoh budaya, petugas media, pertubuhan belia, pertubuhan bukan kerajaan (NGO), Dewan Bahasa dan Pustaka (DBP), ikon belia dan pempengaruh media sosial.

Tema ini mendasari tekad serta komitmen pemimpin bersama rakyat sebagai sebuah negara bangsa yang memiliki semangat perpaduan yang tinggi, bersatu-padu serta kehidupan yang aman dan sejahtera.

“Ini juga didokong dengan konsep Malaysia Madani sebagai kunci utama bagi memastikan rakyat mengecapi segala bentuk kemajuan serta kemodenan yang berteraskan kemampanan budaya bangsa, berdaya cipta, keyakinan, kesejahteraan, hormat menghormati dan ihsan,” katanya.

Mengenai logo pula, Fahmi berkata, pemilihan logo Malaysia Madani berteraskan kepada reka bentuk logo yang unik dan simbolik dengan ‘tangan yang sedang diangkat, untuk melafazkan ikrar Rukun Negara’.

“Ia juga mengandungi warna-warna asas Jalur Gemilang selaras dengan jati diri serta semangat patriotik rakyat Malaysia yang berbilang bangsa hidup dalam keharmonian, sehati dan sejiwa,” katanya.

Beliau juga Pengerusi Jawatankuasa Induk Sambutan Hari Kebangsaan dan Hari Malaysia 2023, berkata pelbagai program peringkat kebangsaan akan dianjurkan sepanjang Bulan Kebangsaan dan Hari Malaysia pada tahun ini, antaranya ialah Majlis Pelancaran Bulan Kebangsaan dan Kibar Jalur Gemilang 2023 pada 15 Julai di Ipoh, Perak.

Ia disusuli dengan Sambutan Hari Kebangsaan pada 31 Ogos di Putrajaya dan diikuti oleh Sambutan Hari Malaysia pada 16 September di Kuching, Sarawak.

“Harapan saya agar semua rakyat Malaysia sama-sama semarakkan rasa cinta negara dengan turut serta dalam program yang disusun atur sepanjang bulan kebangsaan ini,” katanya.

Fahmi juga menyeru rakyat untuk mengibarkan Jalur Gemilang bagi menyemarakkan lagi semangat patriotik.

Related posts

Leave a Comment