PM ada berita baik untuk media, wartawan

KUALA LUMPUR: Perdana Menteri Anwar Ibrahim dijangka mengumumkan ‘berita baik’ untuk kumpulan media dan wartawan tempatan sempena sambutan Hari Wartawan Nasional (HAWANA) 2013 yang sedang berlangsung di Ipoh.

Menteri Komunikasi dan Digital, Fahmi Fadzil, berkata Perdana Menteri dijangka mengumumkan perkara berkaitan dasar dan rang undang-undang (RUU) mengenai kebajikan wartawan serta penubuhan majlis media.

“Insya-Allah Perdana Menteri akan menyampaikan ucaptama pada sambutan HAWANA dan kita jangka akan ada beberapa pengumuman akan dilakukan.

“Selama ini, kita membincangkan mengenai hala tuju industri media kerana, seperti negara lain, industri media juga dilihat melalui tekanan ekonomi dan banyak syarikat media hari ini tidak lagi membuat penerbitan secara fizikal tetapi mengadaptasi secara dalam talian.

Oleh itu, kesan terhadap kebajikan wartawan antara isu yang perlu diberi perhatian,” katanya selepas melancarkan tema dan logo Hari Kebangsaan dan Hari Malaysia (HKHM) 2023, di sini, hari ini.

Menurut Fahmi, akan ada beberapa pengumuman berkaitan isu dasar oleh Anwar dalam ucapan esok..

“Malah kita juga akan meneliti perkara berkaitan penubuhan majlis media dan kita harap akan ada sedikit pengumuman mengenai RUU nanti,” katanya.

Menurut Fahmi, kerajaan juga bersetuju untuk merangka dasar yang bersesuaian dengan konteks negara ini untuk menjaga kemampaman dan kelestarian industri media negara.

“Tahun ini, Malaysia berada di kedudukan ke-23 dalam indeks kebebasan media dalam laporan tahunan Wartawan Tanpa Sempadan (RSF) dan ia adalah kedudukan tertinggi negara.

“Jadi adalah penting untuk rakan media negara diberi kebebasan sepenuhnya, yang penting untuk merencana masa depan negara,” katanya.

Related posts

Leave a Comment