SEPANG 27 Mei – Jenazah peserta misi pendakian Malaysia Everest 2023 (ME2023) Lt Kol Awang Askandar Ampuan Yaacub, selamat tiba di Lapangan Terbang Antarabangsa Kuala Lumpur (KLIA) kira-kira jam 7.30 pagi ini.
Terdahulu, jenazah Pengarah Angkatan Pertahanan Awam Malaysia (APM) Kedah itu
diterbangkan menerusi pesawat MH115 yang berlepas dari Kathmandu, Nepal semalam, pada pukul 11.30 malam (waktu Kathmandu).
Jenazah akan dibawa balik ke Kota Kinabalu, Sabah dengan penerbangan MH2646 pukul 11.35 pagi dan dijangka tiba di Lapangan Terbang Kota Kinabalu pada 2.15 petang ini.
Pada sesi penghormatan terakhir yang diadakan di Kompleks Kargo KLIA di sini hari ini, yang disertai lebih 70 anggota APM, turut diadakan bacaan Yasin dan tahlil dipimpin Lt Bersekutu APM, Miszlee Samais.
Raja Muda Kedah, Tengku Sarafuddin Badlishah Sultan Sallehuddin dan Che Puan Muda Zaheeda Mohamad Ariff turut berangkat menziarahi jenazah dan memberi penghormatan terakhir.
Jenazah akan dibawa ke kediaman mereka di Kampung Benoni, Papar, Sabah dan kemudiannya ke Masjid Jamek As-Salam Benoni untuk solat jenazah.
Jenazah Allahyarham akan dikebumikan di Tanah Perkuburan Islam, Kampung Benoni dengan mengikut istiadat penghormatan APM.
Awang Askandar meninggal dunia sehari selepas terjatuh ketika melakukan pendakian ke Gunung Everest dan hanya memerlukan kira-kira 20 minit untuk sampai ke puncak, pada ketinggian kira-kira 8,000 meter dari aras laut.
Allahyarham ketika itu bersama seorang lagi pendaki negara Muhammad Hawari Hashim, 33, yang juga Orang Kurang Upaya (OKU) pendengaran yang kemudiannya dilaporkan hilang pada 19 Mei lalu, setelah berjaya menawan puncak tertinggi dunia itu.
