KUALA LUMPUR 25 Mei – Ahli Parlimen pembangkang hari ini membangkitkan rasa tidak puas hati dengan perjalanan Aturan Mesyuarat dan Usul-Usul Dewan Rakyat berikutan hanya ada dua Rang Undang-Undang (RUU) dalam aturan mesyuarat.
Ahli Parlimen Kota Bharu, Takiyuddin Hassan mempersoalkan sama ada kerajaan mempunyai RUU lain untuk dibentangkan dalam tempoh tujuh hari persidangan akan datang kerana ketika ini hanya ada dua RUU.
RUU tersebut melibatkan Kementerian Sumber Asli, Alam Sekitar dan Perubahan Iklim iaitu RUU Tenaga Boleh Baharu (Pindaan) 2023 dan RUU Pihak Berkuasa Pembangunan Tenaga Lestari (Pindaan) 2023 bagi bacaan kali kedua.
Jelas Takiyuddin, RUU yang hanya berbaki dua lagi itu akan memendekkan tempoh persidangan hari ini, dan menunjukkan seolah-olah kerajaan tidak serius melaksanakan fungsi Parlimen.
Sebelum itu, Timbalan Menteri di Jabatan Perdana Menteri (Hal Ehwal Sabah, Sarawak dan Tugas-Tugas Khas), Ugak Anak Kumbong mencadangkan supaya persidangan hari ini tidak ditangguhkan sehingga dua RUU terbabit diputuskan di Dewan Rakyat.
Menurut Takiyuddin, masih ada tujuh hari lagi untuk persidangan Dewan Rakyat yang masuk hari ke empat hari ini.
“Saya nak tanya adakah kerajaan tidak mempunyai apa-apa RUU untuk tujuh hari lagi? Atau ada kerajaan nak buat kejutan seperti macam RUU Insolvensi (Pindaan) 2023 baru-baru ini?
“Sudahlah tidak ada penjelasan. Kerajaan dulu panggil semua Ahli Parlimen dan menteri untuk beri penjelasan dulu.
“Soalan pertama saya, adakah ada RUU lagi untuk tujuh hari persidangan? Kalau ada bila? RUU bacaan pertama sudah tiada. Bacaan kali kedua tak tahu bila, jadi apa lagi yang ada?
“Saya mahu soalan saya ini direkodkan dan ditujukan kepada kerajaan. Mungkin kementerian-kementerian sibuk untuk mengadakan filem ‘the true’… filem ‘Untold Story’, yang sudah jadi ‘Unsold Story’,” soal Takiyuddin di Dewan Rakyat pada Khamis.
Sementara itu, Ahli Parlimen Arau, Shahidan Kassim berkata, sekiranya Dewan Rakyat tidak lagi mempunyai urusan kerajaan yang perlu dibentangkan, maka Dewan Rakyat sepatutnya memberi ruang kepada usul persendirian dalam kalangan Ahli Parlimen Pembangkang untuk dibincang dan dibahaskan.
Walau bagaimanapun, Timbalan Speaker, Ramli Mohd Noor berkata sehingga kini beliau tidak menerima notis untuk urusan kerajaan selepas dua RUU hari ini selesai dibincang dan diputuskan.
Situasi itu membawa kepada blok pembangkang meminta undi belah bahagian dilakukan sebelum Ramli mengarahkan Dewan Rakyat direhatkan selama 10 minit sebelum undian dijalankan.
Bagaimanapun cubaan pembangkang untuk menggagalkan usul supaya persidangan hari ini ditangguhkan seperti yang dicadangkan kerajaan, tidak kesampaian, apabila undi belah bahagian tidak berpihak kepada mereka.
Ramli ketika mengumumkan keputusan tersebut memaklumkan seramai 83 Ahli Parlimen bersetuju supaya persidangan hari ini ditangguhkan selepas dua RUU dalam Aturan Urusan Mesyuarat (AUM) diputuskan.
Manakala, seramai 52 Ahli Parlimen tidak bersetuju, 86 orang tidak hadir serta satu tidak mengundi (Ramli).
