Kalimah Allah : Kemas kini dibentang Julai ini

 

KUALA LUMPUR 23 Mei – Perdana Menteri, Anwar Ibrahim menyangkal dakwaan bahawa keputusan kerajaan menarik balik rayuan dalam kes kalimah ‘Allah’ di mahkamah tidak merujuk kepada Majlis Raja-Raja Melayu.

Katanya, dakwaan sedemikian tidak sepatutnya timbul dengan keputusan dalam kes Jill Ireland Lawrence Bill lawan Kementerian Dalam Negeri (KDN) terikat keputusan Majlis Raja-Raja Melayu yang menyatakan nama ‘Allah’ tidak boleh digunakan di Semenanjung dengan kelonggaran secara bersyarat kepada Sabah dan Sarawak.

Beliau berkata, Peguam Negara sudah meneliti dan melihat kes ini, khusus dari segi pentadbiran tidak membabitkan kalimah ‘Allah’ kerana peraturan KDN iaitu bersabit dengan dokumen dan cakera padat yang dibawanya untuk Sarawak.

Maka keputusan Peguam Negara adalah untuk tidak membuat rayuan kerana pada pendapat Peguam Negara, keputusannya adalah selari dengan keputusan Majlis Raja Raja.

“Keputusan ini juga sama dengan keputusan yang tidak diubah selama ini terutama (peraturan) pada 1986, bahkan sebelumnya,” katanya ketika Waktu Pertanyaan Menteri di Dewan Rakyat, hari ini.

Beliau menjawab soalan Idris Ahmad (PN-Bagan Serai) yang mendakwa kerajaan secara diam-diam menarik balik rayuan dalam kes kalimah Allah yang implikasinya begitu besar terhadap kedudukan Islam sebagai agama Persekutuan.

Pada Mac 2021 Mahkamah Tinggi melalui keputusannya menyatakan bahawa wanita dari Sarawak, Jill Ireland, boleh menggunakan kalimah ‘Allah’ bagi tujuan pendidikan agama dalam bahasa Melayu dan bahasa ibundanya, bahasa Melanau.

Hakim Mahkamah Tinggi Nor Bee Ariffin kemudiannya berkata, arahan KDN pada 5 Disember 1986 melarang penggunaan perkataan ‘Allah’, ‘Baitullah’, ‘solat’ dan ‘Kaabah’ oleh orang bukan Islam tidak sah di sisi undang-undang.

Minggu lalu, kerajaan memutuskan untuk menghentikan rayuannya terhadap keputusan Mahkamah Tinggi itu.

Sebelum ini, Anwar mengumumkan Kabinet mendapat perkenan Yang di-Pertuan Agong, Al-Sultan Abdullah Ri’ayatuddin Al-Mustafa Billah untuk mempersembahkan cadangan bagi mengukuhkan penguatkuasaan dasar berhubung kalimah ‘Allah’ kepada Majlis Raja-Raja bagi menyelesaikan isu terbabit secara menyeluruh dan bersepadu.

Yang di-Pertuan Agong juga memperkenankan supaya kes berkenaan dirujuk kepada Jawatankuasa Fatwa Majlis Kebangsaan Bagi Hal Ehwal Agama Islam (MKI).

“Tuanku memperkenankan supaya kita (kerajaan) merujuk MKI yang dipengerusikan Sultan Selangor yang akan memberikan beberapa pandangan bagi memperkemas peraturan ini, (iaitu) tidak boleh dipakai di Semenanjung dan dibolehkan di Sabah dan Sarawak dengan syarat tertentu.

“Insya Allah, ia akan dibentangkan dalam Mesyuarat Majlis Raja-Raja pada Julai nanti,” katanya.

Anwar turut menegaskan, keputusan menarik balik rayuan berkenaan tidak bermaksud kerajaan memberi ruang kepada orang bukan Islam untuk menggunakan kalimah ‘Allah’.

“Saya tak fikir munasabah untuk dipolitikkan isu ini. Pendirian kerajaan hari ini memperaku keputusan dibuat oleh Majlis Raja-Raja.

“Bahkan hakim (kes itu) dalam keputusannya menyatakan ia adalah keputusan pentadbiran dan bukan (berasaskan) teologi,” katanya.

Idris turut mengemukakan soalan tambahan berhubung kenyataan Perdana Menteri sebelum ini yang menyifatkan penggunaan kalimah Allah hanya terpakai di Sarawak, sedangkan kes berlaku di Selangor, di bawah bidang kuasa Mahkamah Tinggi Malaya.

Anwar ketika memberikan reaksi berhubung pertanyaan itu mengakui terdapat percanggahan yang perlu diperbetulkan.

“Sama ada Mahkamah Borneo atau Mahkamah Tinggi di sini (Semenanjung), ia berdasarkan dua peraturan yang bercanggah iaitu peraturan dahulu.

“Maka sekarang, keputusan kita adalah mematuhi sepenuhnya keputusan Majlis Raja-Raja mengenai (penetapan) penggunaan kalimah Allah di Semenanjung dan ruang yang diberikan di Sabah dan Sarawak,” katanya.

Related posts

Leave a Comment