Kumpulan pertama jemaah tiba di Madinah

MADINAH: Kumpulan pertama seramai 284 jemaah haji Malaysia selamat tiba di Lapangan Terbang Antarabangsa Putera Mohammad Bin Abdulaziz, di sini, pada pukul 7 pagi ini.

Sejurus tiba, mereka yang menaiki penerbangan pertama (KT1) terdiri daripada 131 jemaah lelaki dan 153 perempuan itu dibawa ke zon penginapan di Hotel Saja Al-Madinah.

Ketibaan mereka di hotel itu disambut oleh Duta Besar Malaysia ke Arab Saudi, Datuk Wan Zaidi Wan Abdullah.

Tiga lagi penerbangan dari Malaysia dijadualkan tiba di Madinah, hari ini, membabitkan keseluruhan kira-kira 1,100 jemaah.

Mereka adalah kumpulan KT awal daripada keseluruhan 31,600 jemaah haji kuota penuh Malaysia, tahun ini, yang bakal tiba di Tanah Suci secara berperingkat melalui 102 penerbangan dengan yang terakhir dijadualkan pada 21 Jun depan.

Di Madinah, jemaah haji Malaysia akan ditempatkan di Hotel Anwar Al-Madinah Movenpick, Hotel Saja Al-Madinah serta Hotel Emaar Royal.

Sepanjang tempoh enam hari berada di Madinah sebelum bertolak ke Makkah, mereka akan mengikuti program serta aktiviti, antara lain taklimat, ziarah ke Masjid Nabawi, makam Rasulullah SAW dan tempat bersejarah di sekitar bandar Al-Munawwarah ini.

Related posts

Leave a Comment