“Jalan saya adalah jalan ayahanda saya”

KOTA BHARU 21 Mei – Bekas Ahli Parlimen Pas Bachok, Nik Mohamad Abduh Nik Abdul Aziz memberi bayangan akan terus bersama parti itu walaupun pelbagai desas desus mengaitkan dirinya bakal menyertai parti lain.

Tanpa menjelaskan secara berterus terang, beliau berkata, jalannya adalah jalan ayahnya, Allahyarham Nik Abdul Aziz Nik Mat yang juga bekas Mursyidul Am Pas dan bekas Menteri Besar Kelantan.

“Ramai juga mohon penjelasan saya. Saya mohon kemaafan dulu. Begini, Datuk Seri Anwar Ibrahim dan Almarhum ayahanda adalah kawan. Menyambung persahabatan dengan kawan-kawan ayah kita adalah sunnah Rasulullah, termasuklah dengan keluarga dan rakan-rakan mereka.

“Kemudian, kebaikan hendaklah dihargai, kemudian biarkannya bersambungan. Tidak putus-putus. Itu pun sunnah baginda,” katanya menerusi hantaran di Facebooknya.

Persoalan itu timbul selepas media pada 13 Mei lalu menyiarkan gambar beliau bersama Anwar ketika lawatan Perdana Menteri ke Kelantan. Pertemuan itu turut dihadiri abangnya, Nik Omar dan isteri Perdana Menteri,  Dr Wan Dr Azizah Wan Ismail.

Beliau berkata, antara dua insan besar, iaitu Anwar dan Allahyarham ayahnya, terdapat persamaan dalam perjuangan politik mereka.

“Ada juga perbezaan. Perbezaan lebih besar, itu sebab mereka berbeza parti politik. Mereka pernah berselisih, tetapi persamaan yang ada mampu untuk tidak memanjangkan perselisihan itu.

“Begitulah saya, perbezaan kekal, persamaan mendekatkan. Jalan saya adalah jalan ayahanda saya dan Islam adalah penyelesaian. Itulah universiti politik Kelantan. Ada pun desas desus itu dan ini, itu debu. Jaga mata anda. Tak sakit pun, kabur jadinya,” katanya.

Related posts

Leave a Comment