Jemaah KT01 berlepas ke Madinah

SEPANG 21 Mei – Kumpulan pertama 284 jemaah haji bagi Musim Haji 1444H/2023M, berlepas ke Tanah Suci pada pukul 2.05 pagi ini melalui Lapangan Terbang Antarabangsa Kuala Lumpur (KLIA).

Mereka yang tiba di KLIA seawal pukul 10 malam tadi menaiki penerbangan pesawat Malaysia Airlines, MH 8056.

Kumpulan jemaah Penerbangan Pertama (KT01) berkenaan dijangka tiba di Lapangan Terbang Antarabangsa Putera Mohammad Bin Abdulaziz, Madinah, pukul 5.50 pagi waktu Arab Saudi (10.50 pagi waktu Malaysia).

Hadir meraikan Dhuyufurrahman (tetamu Allah) adalah Pengarah Urusan Kumpulan dan Ketua Pegawai Eksekutif Lembaga Tabung Haji (TH), Syed Hamadah Syed Othman dan Pengarah Eksekutif Haji TH merangkap Ketua Rombongan Haji Malaysia, Syed Saleh Syed Abdul Rahman.

Lembaga Tabung Haji (TH) mengadakan Majlis Mengucapkan Selamat Jalan kepada Jemaah Haji Malaysia bagi Penerbangan Pertama (KT01).

Syed Hamadah ketika ditemui pada majlis itu berkata, tahun ini seramai 31,600 jemaah Malaysia akan berlepas ke Tanah Suci secara berperingkat.

Alhamdulillah, operasi haji tahun ini sudah kembali seperti sebelum wabak Covid-19 melanda.

“Insya-Allah TH bersedia menyantuni kesemua jemaah haji dengan kerjasama petugas haji termasuk kakitangan daripada agensi lain bagi memastikan perjalanan jemaah haji Tanah Air dan di Tanah Suci lancar,” katanya.

Beliau turut menzahirkan penghargaan kepada kerajaan Arab Saudi kerana masih meneruskan program Makkah Route yang memudahkan urusan pelepasan imigresen ketika di KLIA.

Pada Majlis Mengucapkan Selamat Jalan kepada Jemaah Haji Malaysia itu, pengurusan tertinggi TH turut beramah mesra dengan jemaah dan pemergian mereka turut diiringi bacaan doa.

TH turut memaklumkan, sebanyak 97 lagi penerbangan bakal menyusul secara berperingkat bagi membawa jemaah haji tanah air berbanding hanya 48 penerbangan bagi musim haji tahun lalu.

Related posts

Leave a Comment