SEPANG 21 Mei – Kesemua 31,600 kuota jemaah yang diperuntukkan untuk musim haji kali ini telah penuh, kata Pengarah Eksekutif Haji Tabung Haji (TH), Syed Saleh Syed Abdul Rahman.
Berikutan itu, rayuan haji yang dibuka sebelum ini ditutup sepenuhnya dan tidak ada lagi rayuan yang akan dipertimbangkan.
Syed Saleh yang juga Ketua Rombongan Haji Malaysia, berkata TH menerima hampir 100,000 permohonan rayuan haji bagi tahun ini, sama seperti permohonan pada tahun sebelumnya.
Beliau berkata demikian kepada pemberita pada Majlis Mengucapkan Selamat Jalan kepada Jemaah Haji Malaysia bagi Penerbangan Pertama, di Lapangan Terbang Antarabangsa Kuala Lumpur (KLIA), di sini, malam tadi.
Turut hadir, Pengarah Urusan Kumpulan dan Ketua Pegawai Eksekutif TH, Syed Hamadah Syed Othman.
Menurut Syed Saleh, jika ada kekosongan pada saat akhir, jumlahnya amat kecil di mana situasi itu berlaku berikutan jemaah membatalkan atau menunda pemergian mereka pada saat akhir kerana alasan peribadi, antaranya disebabkan urusan keluarga, kesihatan dan sebagainya.
Mengulas mengenai cuaca panas di Tanah Suci ketika ini, beliau berkata, TH sentiasa mengingatkan jemaah supaya memberi perhatian kepada soal kesihatan dan keselamatan diri sepanjang menunaikan ibadat.
“Kita telah tekankan mengenai cuaca yang amat mencabar, dijangka terus meningkat sehingga 50 darjah Celcius. Pertama, kita beri penekanan kesedaran kepada jemaah haji supaya jaga diri mereka.
“Kedua, TH akan adakan sebarang aktiviti secara berkumpulan dalam waktu malam supaya tak terlalu terdedah kepada cuaca panas. Selain itu, kita ada kumpulan perubatan untuk hadapi sebarang kemungkinan seperti strok haba yang mungkin berlaku sama ada di Makkah atau Madinah terutama ketika jemaah berada di Arafah, Muzdalifah dan Mina, di mana mereka duduk di khemah dan terdedah kepada cuaca panas,” katanya.
