Satu bilion berisiko dijangkiti taun

GENEVA: Pertubuhan Kesihatan Sedunia (WHO) menyuarakan kebimbangan mengenai kira-kira satu bilion orang di 43 negara berisiko dijangkiti taun atau kolera walaupun wabak itu boleh dihentikan.

Agensi kesihatan Pertubuhan Bangsa-Bangsa Bersatu (PBB) itu menjelaskan dunia sangat mengalami kekurangan sumber bagi menangani wabak itu.

Menurut PBB, kira-kira AS$640 juta (RM2.90 bilion) diperlukan untuk memerangi penyakit berjangkit berkenaan, tetapi tegasnya semakin banyak tempoh diperlukan untuk mengatasinya dan keadaan akan menjadi lebih buruk.

PBB juga berkata, selain itu kempen vaksinasi juga terjejas teruk.

Pengurus Insiden agensi itu untuk tindak balas kolera global, Henry Gray berkata,

setakat tahun ini, sejumlah 24 negara melaporkan penularan wabak kolera, berbanding 15 pada pertengahan Mei tahun lalu.

Negara-negara yang biasanya tidak terjejas oleh kolera kini mengalaminya dan kadar kematian kes jauh melebihi kadar biasa satu dalam 100.

Menurut Gray,  peningkatan penyakit itu disebabkan kemiskinan, konflik dan perubahan iklim serta perpindahan penduduk yang menyumbang kepada faktor pencetusnya.

“Dengan pertambahan bilangan negara yang terjejas akibat taun, sumber yang ada untuk pencegahan dan tindak balas semakin tipis,” katanya.

Beliau mengambil contoh vaksin kolera oral yang diperlukan lebih 18 juta dos untuk tahun ini, tetapi yang diperoleh hanya lapan juta di mana daripada dua dos penuh hanya satu yang dikeluarkan kepada penerima.

Related posts

Leave a Comment