Korea Selatan ambil langkah cegah FMD

SEOUL: Korea Selatan akan melaksanakan langkah kuarantin yang dipertingkatkan untuk mencegah penularan penyakit kaki dan mulut (FMD) berikutan menaikkan tahap krisis penyakit haiwan itu ke peringkat tertinggi, kali pertama sejak Mac 2018.

Menurut Kementerian Pertanian, Makanan dan Hal Ehwal Luar Bandar, tahap amaran dinaikkan daripada “berhati-hati” kepada “serius” untuk bandar tengah Cheongju, wilayah Chungcheong Utara.

Begitu juga daerah Jeungpyeong di wilayah sama dan tujuh lagi wilayah bersebelahan, termasuk Daejeon, Sejong dan Cheonan.

Korea Selatan melaporkan beberapa siri kes FMD di wilayah tengah baru-baru ini selepas mengesahkan satu kes awal bulan ini buat kali pertama dalam tempoh lebih empat tahun.

FMD yang mudah berjangkit serta mengakibatkan penyakit pada lembu, babi, kambing dan haiwan lain tidak memberi kesan kepada manusia.

Sehingga awal Jumaat, negara itu mencatatkan 11 kes FMD di ladang tempatan, masing-masing sembilan di Cheongju dan dua di Jeungpyeong — dengan yang terbaru dilaporkan di ladang lembu di Cheongju.

Pihak berkuasa menghantar pegawai ke ladang untuk kerja kuarantin dan pembasmian kuman bagi mencegah penularan penyakit itu dan semua lembu yang diternak akan dimusnahkan.

Kerajaan juga selesai memberi vaksin kepada haiwan di ladang di sembilan bandar dan daerah serta menutup pasar serta kemudahan berkaitan daging lembu bagi mengawal penyakit FMD.

Related posts

Leave a Comment