Sabah belum bersedia RUU lompat parti?

KOTA KINABALU 7 Mei – Dewan Undangan Negeri (DUN) Sabah belum dimaklumkan tarikh bagi pembentangan rang undang-undang (RUU) pindaan Perlembagaan negeri berkaitan anti lompat parti, kata Speaker, Kadzim M Yahya.

Beliau berkata pihaknya hanya menunggu keputusan kerajaan negeri bila RUU itu mahu dibentangkan, sama ada pada persidangan DUN Sabah yang bermula Isnin ini atau pada tarikh lain.

“Jika tidak sempat dibentangkan pada sidang DUN kali ini, kita akan buat pada sidang khas sebab RUU pindaan Perlembagaan berkaitan anti lompat parti ini mungkin akan menerima ramai pembahas, jadi mungkin masa sehari persidangan untuk RUU itu tidak cukup.

“Jadi, jika ada pembentangan RUU anti lompat parti, kita akan buat pada sidang khas jika tidak sempat pada sidang kali ini,” katanya pada sidang media.

Sementara itu, Kadzim turut mengesahkan menerima permohonan parti pembangkang untuk membentangkan RUU persendirian berhubung anti lompat parti.

Katanya, beliau sudah menyerahkan perkara itu kepada kerajaan negeri dan dimaklumkan kerajaan akan membentangkan RUU berkenaan.

Pembentangan RUU berkaitan anti lompat parti di peringkat negeri menjadi perhatian memandangkan sebelum ini kerajaan negeri sudah mengumumkan akan membentangkannya selepas Parlimen meluluskan undang-undang sama di peringkat Persekutuan.

Kadzim berkata, sebanyak tiga RUU berkaitan pindaan kecil undang-undang dijangka dibentangkan pada persidangan DUN kali ini yang diadakan selama empat hari berakhir 25 Mei ini.

Beliau berkata, DUN Sabah juga masih mengekalkan kod pakaian sedia ada persidangan yang mewajibkan pemakaian sut lengkap dengan tali leher.

Related posts

Leave a Comment