Vaksin Covid-19 tiba di KLIA

SEPANG 21 Feb. – Pesawat penerbangan Malaysia Airlines MH604 yang membawa vaksin pertama untuk Malaysia, Pfizer-BioNTech selamat mendarat di KLIA pada kira-kira pukul 10.07 pagi ini.

Dikendalikan MAB Kargo Sdn Bhd (MASKargo) iaitu cabang kargo syarikat penerbangan nasional Malaysia Airlines Bhd, penerbangan Passenger-to-Cargo (P2C) itu menggunakan pesawat Airbus 330-300

Pesawat dengan hiasan livery Jalur Gemilang itu sebagai simbolik bahawa 312,390 dos vaksin tersebut adalah untuk rakyat Malaysia.

Kapten Hamdan Che Ismail dari Tumpat Kelantan yang berkhidmat dengan MAS selama 29 tahun adalah orang yang bertanggungjawab menerbangkan pesawat berkenaan.

“Saya amat terharu kerana dapat menjadi sebahagian daripada acara penting negara pada hari ini” katanya.

Sebaik mendarat, proses pemindahan vaksin yang ditempatkan dalam peranti muatan unit (ULD) dari bahagian kargo pesawat ke trak milik sebuah syarikat logistik, DHL Express berlangsung di kawasan Advanced Cargo Centre (ACC), KLIA.

Antara yang hadir menyaksikan detik bersejarah ketibaan vaksin tersebut adalah Menteri Kesihatan Dr Adham Baba, Menteri Penyelaras Program Imunisasi COVID-19 Kebangsaan yang juga Menteri Sains, Teknologi dan Inovasi Khairy Jamaluddin dan Menteri Pengangkutan Dr Wee Ka Siong.

Selesai proses pemindahan, trak syarikat logistik itu diiringi Polis Diraja Malaysia (PDRM) untuk ke lokasi penyimpanan vaksin yang ditetapkan sebagai langkah keselamatan.

Perjalanan vaksin itu dari kilang Pfizer di Belgium telah diuruskan oleh syarikat farmaseutikal itu dan DHL, peneraju dalam industri logistik, melalui perjanjian di peringkat global.

Vaksin itu berlepas dari Puurs, Belgium dan transit di lapangan terbang di Jerman iaitu Leipzig Halle Airport, sebelum meneruskan perjalanan ke Singapura untuk pengedaran ke negara-negara Asia Pasifik lain termasuk Malaysia.

Kementerian Kesihatan (KKM) mewakili kerajaan Malaysia telah memeterai perjanjian dengan Pfizer (Malaysia) Sdn Bhd pada 11 Januari lepas (2021) untuk pembelian vaksin Pfizer-BioNTech itu, setelah memulakan perbincangan pada penghujung tahun 2020.

Vaksin Pfizer-BioNTech adalah vaksin pertama yang memperoleh kelulusan bersyarat daripada Pihak Berkuasa Kawalan Dadah (PBKD) dan Bahagian Regulatori Farmasi Negara (NPRA) pada 8 Jan lepas.

Sehingga bulan ini, Malaysia sudah mendapat jaminan bekalan vaksin Covid-19 sebanyak 66.7 juta dos menerusi lima pengeluar vaksin iaitu Pfizer-BioNTech, AstraZeneca, Sinovac, CanSinoBIO dan Sputnik V.

Vaksin Covid-19 keluaran Pfizer-BioNTech, Comirnaty, menjadi kumpulan pelalian pertama tiba di Malaysia menjelang Program Imunisasi Covid-19 Kebangsaan yang dijadual bermula 26 Febuari ini.

Menurut syarikat pengeluar itu, kebanyakan vaksin itu akan dihantar dari kilang mereka di Kalamazoo (Michigan, Amerika Syarikat) dan bakinya dari Puurs (Belgium) terus kepada pelanggan di ke lokasi penggunaan (POU) kerana pelalian ini perlu kekal sejuk beku selepas ia dihasilkan.

Pfizer juga akan menggunakan pusat pengedaran sedia ada di Wisconsin, AS dan di Karlsruhe, Jerman.

Pengerusi  dan Ketua Pegawai Eksekutif (CEO) Pfizer Dr Albert Bourla, menerusi surat terbuka 15 Disember lalu berkata, jurutera mereka membangunkan bekas penghantaran khas atau dikenali sebagai ‘shipper’ yang dilengkapi peranti pemantauan suhu berterusan dan peranti penjejakan lokasi (GPS) pada waktu sebenar.

Peti khas shipper ini mampu mengekalkan suhu yang diperlukan sehingga 10 hari jika tidak dibuka, tanpa menjejaskan integriti vaksin ketika ia dihantar ke seluruh dunia.

Pusat kawalan Pfizer pula akan memantau dan menjejak semua penghantaran bagi memastikan vaksin ini sentiasa dalam keadaan baik pada suhu yang betul serta benar-benar tiba di tempat ditentukan, tepat pada masanya. 

Pusat pemantauan yang beroperasi 24 jam ini akan mengambil tindakan segera andai berlaku perkara tidak diingini.

 

 

Related posts

Leave a Comment