KOTA KINABALU 15 Mei – Sabah mencatat tiga kes strok haba berikutan cuaca panas yang ketika ini yang membabitkan murid dan pelajar sekolah dan orang awam, kata Pengarah Jabatan Kesihatan Negeri Sabah (JKNS), Dr Rose Nani Mudin.
Katanya, kes pertama, seorang pelajar lelaki berumur 18 tahun yang dimasukkan ke wad pada 15 April lalu dan dibenarkan balik pada 18 April manakala kes kedua, seorang murid lelaki berumur sembilan tahun yang dimasukkan ke wad pada 30 April lalu dan dibenarkan keluar pada 2 Mei.
Kes ketiga pula adalah seorang wanita berumur 27 tahun yang bekerja sendiri dan menerima rawatan sebagai pesakit luar pada 29 April lalu.
Beliau memberitahu, cuaca panas yang melampau boleh menyebabkan seseorang individu kerap berpeluh dan menyebabkan cecair dalam badan berkurangan.
Antara gejala penyakit berkaitan cuaca panas, katanya ialah badan terasa kering dan panas, denyutan jantung menjadi cepat, pening dan mual selain boleh mengakibatkan sawan ataupun pengsan.
“Kanak-kanak dan warga tua adalah golongan yang paling berisiko mendapat masalah kesihatan akibat cuaca panas,” katanya.
JKNS menyarankan beberapa langkah yang perlu diambil untuk mengelakkan penyakit berkaitan cuaca panas termasuk menangguh atau mengehadkan aktiviti lasak seperti berkayak, berbasikal, marathon, mendaki gunung dan aktiviti luar yang lain.
Begitu juga memendekkan tempoh aktiviti di luar rumah seperti berkebun atau membersihkan laman rumah ataupun berehat secara berkala dan minum air kosong yang banyak setiap kali waktu rehat ketika melakukan aktiviti.
Dr Rose Nani berkata, orang ramai juga disaran meminum air yang dimasak dengan secukupnya dan digalakkan untuk memakai pakaian yang ringan, cerah dan longgar bagi mengelak pemerangkapan haba selain mengelakkan memakai pakaian warna gelap, tebal dan ketat.
“Orang ramai juga disaran memakai topi atau payung untuk melindungi diri daripada pancaran haba terus ke badan selain tidak duduk dalam kenderaan yang bertutup tanpa pendingin hawa,” katanya.
